Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKPD di tujuh kawasan di Sabah dilanjutkan
Diterbitkan:  Oct 22, 2020 5:00 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di enam kawasan di Semporna dan satu lokasi di Kunak, Sabah yang akan berakhir esok kini dilanjutkan dari 24 Okt hingga 6 Nov, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri.

Ismail berkata setakat ini penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati masih terdapat penularan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

"Maka (kerajaan) setuju lanjut lagi PKPD dari 24 Okt hingga 6 Nov. Kita tambah lagi dua minggu.

"Pelanjutan tempoh ini diperlukan bagi membolehkan saringan kedua dijalankan oleh KKM," katanya dalam taklimat harian berkaitan Covid-19 yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Bagaimanapun Ismai berkata kelonggaran diberikan terhadap aktiviti perniagaan kedai runcit untuk beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 6 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas.

Selain itu, Ismail juga mengumumkan Anjung Teduh di Felda Sahabat, Lahad Datu juga akan diletakkan di bawah PKPD berkuat kuasa 24 Okt hingga 6 Nov.

Beliau juga memaklumkan sembilan penjara dan pusat tahanan di Perlis, Kedah, Perak dan Selangor serta sebuah kampung di Lahad Datu, Sabah juga akan diletakkan di bawah PKPD.

Sembilan pusat tersebut adalah pusat koreksional Perlis, penjara Sungai Petani di Kedah, penjara Taiping, Kamunting dan Tapah di Perak, pusat koreksional Puncak Alam, penjara Sungai Buloh, penjara Kajang dan Penjara Wanita Kajang di Selangor.

Menurut Ismail Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PKPD di kesemua penjara dan kuarters penjara ini adalah sama seperti SOP PKPD penjara yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Antara SOP yang telah ditetapkan adalah pergerakan keluar masuk tidak dibenarkan melibatkan kawasan ini termasuk lawatan oleh ahli keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan.

Manakala pergerakan staf penjara ditentukan berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Semalam Ismail mengumumkan bahawa PKPD akan dilaksanakan di penjara Seberang Perai dan kuaters perumahan penjara di Pulau Pinang mulai hari ini hingga 4 Nov.

Ismail juga memberitahu PKPD akan turut dikenakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni di Sandakan dari 23 Okt hingga 5 Nov.

Lihat Komen
ADS