Malaysiakini
BERITA

847 kes baru, 5 kematian, 90 di ICU

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Okt 2020, 10:57 pagi

Kes jangkitan Covid-19 di negara ini terus merekodkan angka yang tinggi dengan sebanyak 847 kes baru dilaporkan setakat tengah hari tadi.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 23,804 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 8,183 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, Sabah terus merekodkan angka tertinggi dengan 578 kes, dikuti oleh Selangor (132). Kenaikkan ketara juga disaksikan di Negeri Sembilan (38) dan Labuan (29).

Kuala Lumpur yang turut dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) selain Sabah, Selangor, Labuan dan Putrajaya pula mempunyai 23 kes.

Memperincikan jumlah kes di negeri lain, dia berkata, Perak mempunyai 14 kes, Pulau Pinang (10), Putrajaya (empat), Kedah, Melaka dan Kelantan masing-masing tiga kes, Pahang (dua) manakala Terengganu, Johor dan Sarawak masing-masing satu kes.

Daripada 847 kes baru hari ini, lima adalah kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara yang dilaporkan di Selangor. Semuanya melibatkan bukan warganegara iaitu empat kes dari India dan satu kes dari Amerika Syarikat.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan seramai 486 pesakit telah sembuh sepenuhnya.

Sementara itu, katanya seramai 90 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan lima kes kematian berkaitan Covid-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 204 kes atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Daripada jumlah lima kematian itu, empat adalah di Sabah, manakala satu lagi dicatatkan di Kedah. Semua mangsa berusia 60 tahun dan ke atas.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat enam kluster baru telah dikenal pasti pada hari ini.

Kluster-kluster ini adalah Tinusa, Sauh, Jambu, Sofi, Bah Mutiara dan Umboo.

Berikut status terkini Covid-19 di Malaysia

Kes sembuh = 486

Jumlah kes sembuh =15,417 kes

Kes baharu positif = 847

(kes import = 5, kes tempatan = 842)

Jumlah positif = 23,804 kes

Kes kematian = 5

Jumlah kes kematian = 204 kes

Kes dirawat di ICU =90 kes

Bantuan alat pernafasan = 29 kes

 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan