Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sejak gelombang ketiga Covid-19 melanda negara bulan lalu, lebih 1,000 kes positif membabitkan pelajar direkodkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya untuk kumpulan pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun sebanyak 587 kes dikesan setakat ini, manakala yang berusia 13 hingga 18 tahun, 670 kes direkodkan.

Katanya jumlah itu dicatatkan sejak 20 Sept sehingga semalam.

Menyatakan hal itu dalam sidang media hariannya di Putrajaya hari ini Noor Hisham berkata sejak wabak Covid-19 dikesan pada Feb lalu pula, sebanyak 830 kes dikesan membabitkan kanak-kanak dalam kumpulan usia tujuh hingga 12 tahun.

Untuk kumpulan usia 13 hingga 18 tahun - bagi tempoh sama - sebanyak 1,315 kes direkodkan.

Kata Noor Hisham sejak gelombang ketiga Covid-19 melanda sebanyak 12 sekolah ditutup sementara setakat ini kerana jangkitan sebahagian daripada kluster ada.

Sekolah terbabit sama ada kerana berada di zon merah, merekodkan jangkitan anggota keluarga atau ada pelajar atau kakitangan yang dijangkiti.

Menurutnya, semua sekolah itu ada kaitan dengan kluster tertentu. Sekolah berkenaan ialah:

  •  Tiga sekolah di Negeri Sembilan yang ada kaitan dengan Kluster Cahaya, Kluster Sofi dan Kluster Bah Manggis
  •  Tiga sekolah di Johor yang berkait dengan Kluster Simera dan Kluster Rinting
  •  Dua sekolah di Kuala Lumpur ada kaitan dengan Kluster Jalan Pantai dan Kluster Long
  •  Sebuah sekolah di Pulau Pinang (Kluster Alma)
  •  Sebuah sekolah di Melaka (Kluster Bukit)
  •  Sebuah sekolah di Putrajaya (Kluster Selasih)
  •  Sebuah sekolah di Sarawak (Kluster Bah Arnab).

Bagaimanapun maklumat yang dikumpul Malaysiakini  menunjukkan sebanyak 74 sekolah, prasekolah dan pusat pendidikan melaporkan kes Covid-19 di tempat masing-masing.

Data itu diperolehi berdasarkan pengumuman pihak sekolah, pejabat pendidikan daerah dan laporan media tempatan.


Lihat Komen
ADS