Malaysiakini
BERITA

Wajib kerja dari rumah, hanya 10% boleh ke pejabat - Miti

Bernama

Diterbitkan

Pihak industri wajib melaksanakan amalan bekerja dari rumah (BDR) bagi kakitangan kumpulan pengurusan dan penyeliaan, dan hanya 10 peratus daripada kumpulan tersebut boleh berada di pejabat.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan mengenai soalan lazim berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini, kakitangan kumpulan pengurusan dan penyeliaan merangkumi antaranya tugasan melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan ICT.

Katanya pekerja dihadkan untuk berada di pejabat selama empat jam sahaja bermula jam 10 pagi hingga 2 petang untuk tiga hari seminggu.

“Syarikat boleh menjalankan sistem penggiliran bagi menetapkan wakil kumpulan pengurusan dan penyeliaan yang perlu hadir ke pejabat.

“Syarikat juga dinasihatkan untuk menyediakan senarai pekerja yang terlibat untuk BDR dan juga dalam operasi syarikat untuk rujukan pihak berkuasa, sekiranya diperlukan,” katanya.

Menurut MITI, majikan perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKPB.

Bagi pekerja sektor lain yang dikategorikan sebagai sektor informal seperti sektor peruncitan, makanan, perladangan, pertanian, penjaja, gerai makan, restoran, medan selera, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan bekerja seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang ditetapkan.

Pekerja bagi perkhidmatan pengangkutan seperti pengangkutan awam, bas ekspres, Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), teksi, e-hailing dan khidmat penghantaran makanan juga boleh bekerja seperti biasa, menurut MITI.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan