Malaysia desak gencatan senjata segera di Lubnan
Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa menekan Israel supaya menghentikan serangan membabi buta yang berterusan terhadap rakyat Lubnan.
Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa menekan Israel supaya menghentikan serangan membabi buta yang berterusan terhadap rakyat Lubnan.
Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, selaku pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Malaysia mahu masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu mendesak Israel menghentikan segala bentuk tindakan ketenteraan di Lubnan.
Pergerakan Pemuda Umno, Gerakan dan DAP turut mengutuk serangan Israel terhadap bandar Qana di selatan Lubnan yang membunuh lebih 60 orang awam termasuk 37 kanak-kanak.
Dalam kenyataannya, Syed Hamid berkata, serangan udara yang tidak wajar oleh Israel di Qana menunjukkan betapa gencatan senjata perlun diadakan segera.
" Malaysia mengutuk keras tindakan Israel itu dan menganggapnya tindakan ganas dan bertentangan dengan undang-undang dan peraturan kemanusian antarabangsa."
" Malaysia amat sedih melihat penduduk awam yang terkorban kebanyakannya wanita dan kanak-kanak akibat serangan Israel itu," kata beliau.
Menurut laporan Bernama, pengerusi Biro Antarabangsa dan Hubungan NGO Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir turut menyifatkan serangan itu sebagai satu perbuatan ganas yang kejam dan menggesa masyarakat antarabangsa mendesak Israel menghentikan segera tindakannya memusnahkan Lubnan.
"Israel secara terang-terangan tidak mempedulikan undang-undang antarabangsa dengan membunuh beratus-ratus orang awam di wilayah itu sejak minggu lepas dengan sokongan Amerika dan sekutunya.
"Pemimpin yang merestui dan mempertahankan serangan terhadap kaum wanita dan kanak-kanak merupakan penjenayah perang yang patut dibicarakan dan dihukum mengikut undang-undang antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Mukhriz yang juga penyelaras Aman Malaysia berkata lebih menjelekkan lagi ialah Amerika masih lagi enggan mengutuk serangan Israel itu sebaliknya mewajarkan tindakan itu sebagai mempertahankan diri.
"Adalah mengecewakan apabila Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berulang kali gagal untuk mengisytiharkan gencatan senjata di wilayah itu kerana Amerika terus-terusan menggunakan kuasa vetonya terhadap sebarang cubaan untuk berbuat demikian. Ini menunjukkan betapa Amerika dan pentadbiran Israel tidak menghargai nyawa manusia," katanya.
Gencatan senjata?
Sementara itu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata Amerika hanya mempunyai Israel sebagai sahabat di dunia ini jika ia tidak bertindak terhadap pembunuhan beramai-ramai di Qana dengan menggesa diwujudkan gencatan senjata.
Sebarang kelewatan berbuat demikian oleh Presiden George Bush hanya akan menjadikan Amerika sama-sama bertangggungjawab terhadap tindakan pembunuhan yang dilakukan Israel, katanya.
"Sementara Israel mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya, serangan terhadap orang awam Lubnan mempersendakan perkataan pertahanan itu," katanya.
Lim berkata DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pemusnahan dan pembunuhan besar-besaran yang dilakukan Israel di Lubnan itu yang tiada bezanya dengan pembunuhan kaum yang dilakukan Nazi.
Pemuda Gerakan pula dalam satu kenyataan berkata ia akan menyertai misi Pemuda Barisan Nasional ke beberapa buah negara bagi meraih sokongan untuk menentang kekejaman itu.
Ketua Pemuda Nasional Gerakan Datuk Mah Siew Kong berkata Parti Gerakan tidak boleh berkompromi dengan kekejaman tentera Israel yang menyebabkan kanak-kanak tidak berdosa meninggal dunia.
"Pemuda Gerakan akan bekerjasama dengan parti-parti komponen Barisan Nasional untuk mewujudkan rangkaian di kalangan pemimpin muda di peringkat antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan segala bentuk kezaliman," kata beliau.
Misi ke beberapa negara seperti Filipina, China dan India akan diadakan untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin parti politik, pertubuhan belia dan bukan kerajaan bagi meraih sokongan dan mewujudkan penentangan global terhadap kekejaman Israel, katanya.

