Malaysiakini
BERITA

Lim: DAP tak akan ikut jika Anwar bertindak di luar rangka PH

Susan Loone

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Okt 2020, 8:34 pagi

WAWANCARA | Dengan Umno kekal menyokong pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin, timbul persoalan sama ada usaha Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan baru sudah berakhir.

Anwar sudah berusaha ke arah itu - dan untuk menjadi perdana menteri - sejak dipecat daripada kerajaan dan Umno pada 1998.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berbicara tentang masa depan parti itu dalam PH, kerjasama PKR dengan Umno dan jika DAP akan menyokong Anwar selaku perdana menteri jika ia turut menyertakan Umno.

DAP secara jelas mengatakan PKR perlu menjelaskan pendiriannya.

Lim juga menegaskan, langkah bersama-sama Umno atau mereka yang "mengkhianati mandat rakyat" pada PRU14 adalah sesuatu yang tidak dapat dipertimbangkan.

Berikut adalah wawancara Malaysiakini dengan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

Apa terjadi sekarang sejak nampaknya sudah game over untuk Anwar?

DAP tidak pernah bersaing untuk jawatan perdana menteri. Di bawah PH, ia sentiasa Anwar. Jika dia gagal dapatkan sokongan, maka (sokongan kepada) Presiden Warisan Shafie Apdal.

Tetapi memandangkan Anwar yang membuat langkah, soalan itu patut dijawab olehnya.

Apa rancangan masa depan DAP? Adakah anda akan kekal bersama Anwar memandangkan rancangannya tampak memakan diri?

Kami kekal dengan PH. Mesyuarat belum dibuat. Tetapi jika ada apa-apa pertimbangan, ia akan dibawa ke mesyuarat.

Mesyuarat mungkin diadakan selepas PKP. Membaca sejumlah kenyataan yang dikeluarkan, Anwar masih menaruh harapan sesuatu akan berlaku. Apa-apa pun, lebih baik dia yang memberi jawapan tentangnya.

Apa maksud anda "sesuatu akan berlaku?"

"Memang tidak boleh bergantung kepada Umno selaku parti politik. Secara politik, ia tidak dapat dipertahankan langsung. Walaupun kita telah jelaskan pendirian, ada banyak pihak yang tidak menggambarkan pendirian DAP dengan betul. Media kerajaan pastinya tidak membantu, terutama akhbar bahasa Cina, yang terus merangka penipuan untuk memutarbelit pendirian kami.

Ini sesuatu yang perlu ditangani. Saya belum bertemu mana-mana pemimpin Umno berkenaannya (menjatuhkan PN).

Ada media berbuat demikian (memberi gambaran salah) kerana tahu saya adalah setiausaha agung DAP dan bercakap untuk pihak parti.

Ada tanggapan umum bahawa PH tidak lagi berpadu, DAP dan Amanah dipinggirkan.

Tanggapan itu perlu dibetulkan oleh PKR kerana mereka yang mengetuai usaha itu. Tanggapan itu mungkin disebabkan percaturan kuasa terbaru yang kelihatan hanya ditentukan oleh satu parti politik.

Wajar untuk kembali ke prinsip asas kita dan mengembalikan mandat rakyat pada PRU14 berasaskan 109 anggota Parlimen. Kita tidak boleh bergantung kepada parti yang telah ditolak rakyat.

(Jumlah 109 itu merujuk kepada jumlah anggota Parlimen di pihak pembangkang.)

Hubungan jenis ini, berdasarkan mereka yang sanggup menggadaikan prinsip, tidak akan kekal lama.

Bagi kami, walaupun kami mungkin tak berjaya, masih wujud prinsip asas dan benih-benih harapan yang akan berterusan. Obor harapan akan terus menyala. Benih mungkin ambil masa untuk tumbuh, tetapi akan mekar selepas lima tahun.

Pengkhianat hanya 'menjual' kuasa. Ambilnya daripada mereka, tidak akan ada apa-apa lagi untuk masa depan. Nama mereka dikenang dengan hina.

Bagaimana anda dapat tubuhkan kerajaan berprinsip berdasarkan perkara ini?

Apa pun yang anda kata kepada Umno, mereka berdiri sendiri. Tiada pengkhianatan kecuali beberapa yang lompat. Jika kita bekerjasama dengan mereka sebagai sebuah parti, kita pun sama saja dengan mereka yang melompat untuk tubuh kerajaan 'pintu belakang'.

Apa akan berlaku jika Anwar mahu terus bekerjasama dengan Umno?

Kita perlu tangani perkara ini dalam rangka PH. Kita tidak boleh menyimpang terlalu jauh daripadanya.

PH masih wujud?

Masih, tetapi seolah-olah unsur PH tidak dipancarkan. Ia seperti lebih kepada parti secara individu berbanding satu gabungan padu, atau usaha bersepadu oleh PH.

Adakah anda sudah suarakan keraguan anda terhadap Anwar?

Apabila kami berjumpa, Anwar setuju sepenuhnya dengan kami.

Sampai bila DAP akan bertahan dengan perkara ini? Apa batasannya bagi anda?

Kami akan meneruskannya selagi ia pendirian PH. DAP tidak buat keputusan yang individualistik. Selagi ia pendirian PH, kita akan bersama dan jika tidak, kita tidak akan bersama-sama dengannya.

Anwar tahu dia perlukan DAP dan Amanah untuk berjaya. Sepertimana kami dalam DAP perlukan PKR dan Amanah. Tetapi jika dia buat sesuatu di luar rangka PH, DAP tak akan ikut. Kami yakin Amanah juga berpendirian sama.

[Baca berita asal]


BacaDAP kecam kenyataan PKR 'hormati' keputusan Umno kekal sokong PN

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan