Masidi: Tak benar warga tua tak diutamakan masuk ICU
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun menafikan warga tua tidak akan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) berikutan kesesakan di wad berkenaan di Sabah.
"Tidak benar. Semua peringkat umur yang memerlukan rapatan rapi akan dimasukkan ke ICU dan juga kemudahan-kemudahan lain yang berkaitan semasa dalam tempoh rawatan,”katanya pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.
Masidi berkata demikian ketika ditanya apakah terdapat cadangan agar pesakit berusia 90 tahun ke bawah diberi keutamaan untuk dimasukkan ke wad ICU dan menerima alat bantuan pernafasan.
Amalan serupa dilakukan di negara-negara lain seperti Itali ketika berlaku kesesakan dan kekurangan kemudahan berkenaan, memaksa doktor mengutamakan pesakit yang lebih berdaya tahan.
Ini bermaksud warga tua dan mereka yang mempunyai latar belakang kesihatan yang teruk seperti menghidap pelbagai jenis penyakit cenderung untuk tidak dimasukkan ke ICU.
Terdahulu, dilaporkan bahawa beberapa pesakit Covid-19 perlu menunggu sehingga dua hari sebelum dapat dimasukkan ke ICU di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah.

