Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tujuh lagi pekerja Tesco Extra Mutiara Damansara positif Covid-19
Diterbitkan:  Oct 24, 2020 12:35 AM
Dikemaskini: 4:43 PM

Seramai tujuh lagi pekerja Tesco Extra Mutiara Damansara dijangkiti Covid-19, setelah satu kes diumumkan pada 14 Okt lalu, menjadikan jumlah keseluruhan pekerja yang dijangkiti  wabak itu setakat ini adalah seramai lapan orang.

Rangkaian pasar raya besar itu berkata, tujuh kakitangannya kali terakhir berada di premis berkenaan pada 14 Okt dan merupakan antara 53 individu yang sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Pasar raya itu ditutup esok untuk pencarian kontak dan kerja-kerja disinfeksi akan dilakukan pada 25 Oktober. 

Dalam satu kenyataan, pasar raya itu juga berkata operasi penghantaran barangan telah dihentikan sejak 13 Sept lalu.

"Kira-kira 500 rakan sekerja dan penyewa kami akan menjalani ujian swab dan tidak akan dibenarkan kembali bekerja kecuali hasil ujian mereka negatif," katanya.

Tambahnya, semua maklumat mengenai mereka yang mengimbas kod QR pada aplikasi MySejahtera dalam tempoh tersebut telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk pencarian kontak.

Pada 14 Okt lalu, rangkaian pasar raya besar itu pada catatan di Facebook kira-kira jam 8 malam memaklumkan seorang kakitangan pelatihnya disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun, pasar raya itu tetap dibuka sehingga jam 10 malam, menyebabkan pembeli yang tidak sedar mengenai perkara itu mengunjungi pasar raya tersebut pada malam berkenaan.

Pengunjung juga mengadu bahawa aplikasi MySejahtera tidak memaklumkam mereka bahawa terdapat kes Covid-19 dikesan di situ walaupun setelah mereka membuat imbasan kod QR di pasar raya berkenaan.

Awal minggu ini, rangkaian pasar raya Jaya Grocer memaklumkan dua pengawal keselamatannya di pusat beli belah KLIA2 Gateway diuji positif Covid-19, yang mendorong pasar raya itu ditutup untuk kerja-kerja nyahkuman.

Hari ini, sebuah pasar di Sea Park, Petaling Jaya juga ditutup oleh majlis perbandaran setelah seorang peniaga disahkan positif Covid-19.

Lihat Komen
ADS