Malaysiakini
BERITA

Apa cara ada untuk tunda PRK dan PRN, tanya Annuar

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Okt 2020, 12:42 pagi

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa, 'meminta nasihat' daripada orang ramai - terutama pembangkang - mengenai cara terbaik mengelak berlakunya pilihan raya ketika negara masih berdepan ancaman Covid-19.

Kata-kata Annuar itu dibuat selepas kerajaan Perikatan Nasional dikatakan menerima cadangan untuk mengisytiharkan darurat dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah mengadap Yang di-Pertuan Agong di Kuantan, Pahang lewat petang semalam.

Laporan berita mengenai cadangan tersebut mencetuskan bantahan pelbagai pihak. Selain ahli politik ia juga tidak disenangi kalangan peguam.

"Tolong nasihatkan undang-undang mana boleh digunakan apabila pengundi Batu Sapi mahu kerajaan menunda pilihan raya kecil?

"Undang-undang mana boleh digunakan apabila orang Sarawak mahu pilihan raya negeri (PRN) mereka ditunda kerana takut apa yang berlaku di Sabah?" ciapnya malam tadi.

Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan turut bertanya, undang-undang yang mana perlu digunakan apabila 87 peratus pengundi membayangkan mereka tidak mahu pilihan raya umum (PRU) kerana bimbangkan wabak Covid-19.

PRK Batu Sapi perlu diadakan selepas kerusi tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya - seorang daripada pemimpin kanan Warisan - Liew Vui Keong pada 2 Okt lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya berkata mengikut perlembagaan mereka tidak ada pilihan kecuali mengadakan PRK dalam tempoh 60 hari selepas kekosongan kerusi itu diwartakan.

Ragui sokongan majoriti Muhyiddin

Untuk PRN Sarawak pula, kerajaan sekarang sebenarnya mempunyai tempoh sehingga pertengahan tahun depan sebelum penggal yang ada berakhir.

Dewan Undangan Negeri Sarawak hanya akan terbubar secara automatik 7 Jun. Dengan andaian ia dibubarkan pada tarikh berkenaan, PRN Sarawak mesti diadakan sebelum 7 Ogos.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing berkata Covid-19 tidak menghalang PRN untuk diadakan.

Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg, pula dilaporkan berkata cadangan mengadakan PRN dibuat dengan mengambil kira kemampuan negeri itu mengendalikan Covid-19 secara berkesan ketika ini.

“(Namun) sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh meneruskan mandat, saya tidak kisah untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri,” katanya secara berjenaka di Konvensyen Sarawak United People's Party (SUPP) di Kuching, pada 18 Okt lalu. 

Abang Johari juga menegaskan langkah itu bukan menunjukkan GPS gila kuasa namun mereka tertakluk kepada undang-undang dan kerajaan perlukan mandat untuk menguruskan negeri dan ekonomi.

PRU ke-15 pula tidak perlu diadakan sehingga penggal yang ada tamat pada 2023. Bagaimanapun cakap-cakap mengenai pembubaran parlimen menjadi hangat akhir-akhir ini kerana pelbagai pihak meragui Muhyiddin masih memiliki sokongan majoriti di parlimen.

Ia kemudian mencetuskan kemungkinan parlimen dibubarkan untuk membuka laluan kepada PRU baru.

Semalam pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Shad Saleem Faruqi, berkata PRK dan PRU hanya boleh ditangguhkan jika darurat diisytiharkan mengikut Fasal 150 Perlembagaan Persekutuan.

[Baca berita penuh]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan