Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anwar perlu rujuk perlembagaan sebelum ulas spekulasi darurat'

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menasihatkan Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan sebelum mengeluarkan kenyataan berkaitan spekulasi tersebar tentang kerajaan bakal mengisytiharkan darurat semalam.

Annuar yang juga Setiausaha Agung BN berkata presiden PKR itu perlu membaca Perlembagaan Persekutuan di bawah perkara 150 yang menerangkan pelbagai jenis darurat.

“Apabila perkara yang menyentuh soal keselamatan negara, ekonomi dan sebagainya disenaraikan, maka pentaksirannya kena rujuk pada pakar undang-undang.

"Adakah pandemik Covid-19 ini tidak boleh masuk dalam kategori darurat dan keselamatan?

“Tiga puluh dua buah negara seluruh dunia sudah pun isytiharkan darurat, Malaysia masih belum lagi kerana kita rasa masih boleh urus negara... itu pun saya tak kata kerajaan akan isytihar darurat,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan operasi MyGrocer@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Setapak hari ini.

Annuar mengulas kenyataan Anwar semalam yang dilaporkan berkata pengisytiharan darurat hanya dilakukan apabila terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara, dan sekiranya kerajaan yang menjadi punca pada ancaman keselamatan, maka langkah darurat adalah langkah ke belakang yang akan memungkin kediktatoran.

Annuar berkata kerajaan belum memutuskan sebarang pendirian berhubung pengisytiharan darurat di negara ini, dan ia perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebelum dilaksanakan.

“Apabila sebut soal darurat, orang awam bayangkan curfew (perintah berkurang), darurat masa 13 Mei tetapi kita terlupa waktu banjir di Manik Urai, Kelantan satu waktu dahulu, (ada orang bertanya) kenapa kerajaan tak isytihar darurat? Itu namanya darurat banjir dan darurat ada berbagai jenis darurat.

“Apa pun kita tunggulah...kerajaan belum membuat sebarang keputusan, kerana segalanya mesti mengikut jalur perundangan. Kalau kerajaan belum buat sebarang keputusan tapi kita dah jatuhkan hukum kata kerajaan nak jadi diktator, itu saya fikir tidak adil,” katanya.

Bagaimanapun Annuar berkata sekiranya kerajaan membuat keputusan mengisytiharkan darurat, pasti mempunyai penjelasan teliti mengenainya seperti spesifikasi (jenis) darurat, serta siapa yang memerintah negara semasa pelaksanaan darurat tersebut.

“Saya lihat analisis (kenyataan) Anwar adalah analisa layman (orang biasa). Dia kata tiada apa-apa perkara yang mengganggu ketenteraman awam.

“Sepatutnya jangan hukum sebelum benda berlaku.. dia sendiri ramal dan dia sendiri jatuh hukum itu tidak baik. Saya fikir itu adalah tindakan tidak beretika. Lagi pun Anwar kena terima hakikat bahawa dia turut terlibat, sehingga menyebabkan timbul keadaan gawat sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, 178 kawasan perumahan kos awam dan swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapat manfaat daripada program MyGrocer@Wilayah, iaitu pasar bergerak menjual barangan dapur dan makanan asas harian pada harga murah, selain dapat mengurangkan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah (B40).

- Bernama

Lihat Komen
ADS