Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
P Pinang mahu dirunding, menteri harap S'wak dikecualikan
Diterbitkan:  Oct 24, 2020 3:22 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Kerajaan negeri harus dirujuk terlebih dahulu sebelum darurat berhubung Covid-19 diisytiharkan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Chow berkata selain Yang di-Pertuan Agong, kerajaan negeri juga berhak untuk dirunding berkenaan perkara itu.

“Ia satu keputusan yang amat besar,” kata Chow seperti dipetik portal The Star.

Kerajaan Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan sebelum ini Sabah, berulang kali menyatakan mereka disisihkan daripada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikaitan perintah kawalan pergerakan, yang disertai ketua kerajaan negeri yang lain.

Mesyuarat khas Kabinet semalam mencetuskan spekulasi bahawa kerajaan berhasrat ke arah darurat.

Meskipun tiada perincian diberikan, kerajaan masih belum menafikan spekulasi bahawa langkah itu turut melibatkan penggantungan Parlimen.

Istana Negara juga telah memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan berunding dengan Raja-raja Melayu berhubung cadangan yang disampaikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

Kenyataan Istana Negara itu tidak menjelaskan apakah cadangan yang dibawa Muhyiddin.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, berharap pelaksanaan darurat, jika dibuat, tidak melibatkan negeri itu kerana bilangan kes positif Covid-19 di sana kekal rendah.

"Sehingga kita melihat kes tiga digit setiap hari, mungkin baru kita boleh katakan wabak telah di luar kawalan di Sarawak dan perlu isytihar darurat," katanya seperti dipetik Dayak Daily.

“Jika sudah lihat kes tiga digit di sini (Sarawak), baru ketika itu wabak Covid-19 di Sarawak tidak terkawal dan terpaksa isytihar darurat,” katanya seperti dipetik portal Dayak Daily.

Katanya lagi, sukar untuk menjangka apa yang ingin dilakukan kerajaan persekutuan tetapi mengingatkan bahawa darurat pernah diisytihar hanya di negeri tertentu, seperti Kelantan pada 1977 dan Sarawak pada 1966.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, jika darurat tidak dikuatkuasa Sarawak, pilihan raya negeri (PRN) masih boleh diteruskan.

“Tetapi kita tidak tahu darurat jenis apa (jika ia diisytihar),” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS