Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Isu ketiadaan MCA, MIC dalam pentadbiran Perak akan dibawa pada MB'

BN Perak akan membawa isu ketiadaan wakil MCA dan MIC bagi mewakili suara kaum Cina dan India dalam pentadbiran kerajaan Perak ke perhatian Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Pengerusinya Saarani Mohamad berkata perkara itu akan dibangkitkan dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri akan datang kerana kedua-dua parti itu merupakan komponen BN.

"Pada saya, apa yang ditimbulkan oleh MCA dan MIC itu adalah penilaian, rungutan atau rintihan yang mereka rasa patut disuarakan. Jadi, kerajaan negeri perlu memberi perhatian kepada suara-suara kumpulan seperti ini, kita tidak boleh menidakkan harapan dan perasaan mereka.

"(Sebagai kerajaan negeri) kita kena mendengar dan bersedia untuk melayani (permintaan atau pendapat) walaupun kita tahu kita tidak boleh memuaskan hati semua orang tetapi meminimumkan perasaan tidak puas hati itu perlu dilakukan," katanya.

Saarani, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan penghargaan kepada sukarelawan dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang berjaya menyiapkan peralatan perlindungan diri (PPE), di Ipoh, hari ini.

Khamis lalu, Ketua Pemuda MCA Perak , Daniel Wa Wai How serta Ketua Pemuda MIC negeri, S Jayaganes dalam satu kenyataan bersama mendakwa permintaan kedua-dua parti komponen BN itu untuk diberi peranan dalam pentadbiran kerajaan negeri belum diberi perhatian.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, 33 membentuk kerajaan negeri terdiri daripada 25 daripada BN yang kesemuanya Umno, Bersatu (5) dan PAS (3) manakala parti lain ialah DAP (16), Amanah (5), PKR (3) serta Gerakan dan Bebas masing-masing satu.

Mengenai program tersebut, Saarani berkata sebanyak 9,918 PPE dihasilkan oleh 130 kakitangan Kemas dan 54 sukarelawan terdiri daripada penduduk setempat dan pelajar Kemas di Perak.

-Bernama

Lihat Komen
ADS