Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenderaan polis dilarikan di Kepala Batas, ditahan di Shah Alam

Polis menahan dua beradik dan seorang wanita kerana dipercayai terlibat melarikan sebuah kereta peronda model Honda Civic 1.8S milik pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di Kepala Batas malam tadi.

Tangkapan itu dibuat selepas kenderaan terbabit ditemui di Shah Alam, Selangor, awal pagi tadi.

Menurut sumber kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 malam apabila dua lelaki yang juga adik-beradik dan berumur 28 dan 32 tahun datang ke bahagian kenderaan IPD Seberang Perai Utara.

Mereka mendakwa kononnya anggota polis dari bahagian sumber teknologi maklumat yang mahu membuat pemeriksaan ke atas kamera papan pemuka (dashcam) yang terdapat dalam MPV itu.

"Kejadian berlaku sangat pantas, dan suspek terus memecut MPV berkenaan keluar dari pekarangan IPD berkenaan sebelum penyelia bahagian kenderaan sempat berbuat apa-apa, dan dia juga tidak mengesyaki apa-apa," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut sumber itu penyelia terbabit - seorang anggota polis berpangkat sarjan - hanya menyedari MPV itu dilarikan selepas setengah jam kemudian apabila suspek tidak kembali semula ke IPD.

Katanya dan kenderaan itu juga gagal dihubungi.

MPV itu kemudiann di kesan di Shah Alam, Selangor, beberapa jam kemudian, dan polis berjaya menahan seorang suspek lelaki serta seorang wanita berusia 20-an dipercayai teman wanitanya yang berada di dalam kenderaan berkenaan.

Susulan penahan itu, polis turut menahan seorang lagi lelaki, iaitu adik kepada suspek pertama di Tasek Gelugor awal pagi ini.

"Siasatan mendapati suspek mulanya mengambil teman wanitanya di Tasek Gelugor, dan pasangan kekasih berkenaan dipercayai cuba menyamun sebuah kedai runcit sebelum memandu ke Shah Alam, difahamkan dia bertindak sedemikian (mencuri kenderaan) kerana mahu menunjuk kepada teman wanitanya," kata sumber.

Menurutnya siasatan polis juga mendapati suspek utama itu pernah ditahan pada 15 Okt lalu kerana mencuri kabel elektrik malah dia dan adiknya mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Katanya adik-beradik itu juga merupakan penagih dadah tegar dan siasatan awal turut mendapati yang suspek utama yang melarikan MPV berkenaan mempunyai masalah mental.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan pihaknya masih menjalankan siasatan Seksyen 379A dan 170 Kanun Keseksaan.

- Bernama 

Lihat Komen
ADS