Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PN susun strategi baru lepas gagal dapat perkenan Agong

Kabinet Perikatan Nasional mengadakan pertemuan tidak rasmi di rumah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara malam ini (25 Okt) dalam usaha untuk menyusun semula strategi setelah Yang Di-Pertuan Agong menolak memberi perkenan untuk mengisytiharkan darurat.

Sumber kerajaan yang maklum perkara itu mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa semua menteri hadir dalam pertemuan yang diadakan beberapa jam selepas Yang Di-Pertuan Agong secara rasmi menolak permintaan darurat oleh Muhyiddin yang diajukan pada hari Jumaat.

Mesyuarat bermula sekitar jam 9 malam dan berakhir sekitar jam 11 malam.

"Perbincangan itu adalah mengenai keputusan Yang Di-Pertuan Agong," kata sumber kepada Malaysiakini.

Sumber itu menambah bahawa akan ada susulan dari pertemuan tidak rasmi malam ini dalam mesyuarat kabinet khas esok (26 Okt).

Seterus politik Muhyiddin sebelum ini membuat spekulasi bahawa presiden Bersatu itu sedang mempertimbangkan untuk mengundurkan diri sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, seorang pemimpin kanan Bersatu yang bercakap dengan Malaysiakini dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan menafikan spekulasi berkenaan.

"Kabinet membuat cadangan untuk darurat tetapi telah ditolak jadi sekarang harus membincangkan strategi baru.

"Sidang parlimen juga semakin hampir," kata sumber itu.

Sekiranya Agong memberi perkenan permintaan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat, parlimen dapat ditangguhkan dan Muhyiddin dapat mempertahankan kedudukan tanpa semak dan imbang, termasuk meluluskan belanjawan tahun depan tanpa melalui undian di Dewan Rakyat.

Kerajaan menggambarkan cadangan perisytiharan darurat sebagai langkah untuk memerangi pandemik Covid-19.

Namun, pengkritik mendakwa ia adalah usaha Muhyiddin mempertahankan kedudukannya di tengah spekulasi bahawa sekumpulan anggota parlimen Umno mungkin tidak lagi menyokongnya, yang boleh menyebabkannya kehilangan majoriti di parlimen.

Muhyiddin mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat, iaitu hanya 113 dari 222 ahli parlimen yang menyokongnya.

Sekiranya tiga ahli parlimen yang sebelum ini menyokongnya beralih sokongan, ia sudah cukup untuk menjatuhkan kerajaan.

Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu 30 minit setelah pertemuan tidak rasmi itu selesai.

Muhyiddin tidak ada menyebut apa-apa tentang berundur.

Awal malam ini, beberapa kenderaan bercermin gelap tiba di kediaman Muhyiddin.

Bagaimanapun, kamera wartawan dapat merakam beberapa yang hadir.

Antara menteri yang dilihat termasuk Rina Harun, Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ismail Sabri Yaakob, Redzuan Yusof, Radzi Jidin, M Saravanan, Edmund Santhara dan Noraini Ahmad.

Sumber kerajaan yang bercakap dengan Malaysiakini juga mengesahkan bahawa Mohamed Azmin Ali dan Wee Ka Siong juga adalah antara yang hadir.

Mereka mula beredar pada pukul 11 malam.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, yang juga setiausaha agung BN, dilihat merupakan individu terakhir yang beredar daripada kawasan itu.

Lihat Komen
ADS