Bersatu: Kerajaan PN perlu diberi ruang untuk fokus bekerja
Bersatu meminta agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) "diberi ruang untuk fokus bekerja" menangani penularan wabak Covid-19.
Ketua penerangannya, Wan Saiful Wan Jan, berkata semua pihak perlu menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong pada minggu lagu yang didakwanya jelas mengabsahkan kemampuan PN dan Muhyiddin Yassin mengawal penyakit berkenaan.
"Barisan kepimpinan kerajaan PN harus diberi ruang untuk fokus bekerja melindungi dan meringakan beban rakyat yang terjejas akibat penularan wabak ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ia dibuat ketika semua parti pembangkang di negara ini menyatakan kesanggupan mereka bekerjasama dengan kerajaan PN yang kini bergelut untuk mengekang penularan wabak dari Wuhan, China itu.
Perhatian juga tertumpu kepada nasib Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan pada minggu depan sebelum dibahas dan diundi untuk diluluskan kemudian.
Ia menjadi ujian buat PN ketika orang ramai mula meragui sokongan yang kini dimiliki Muhyiddin sebagai perdana menteri. Umno dan BN - yang bertanggungjawab membolehkan PN dibentuk beberapa bulan lalu - semalam mengadakan pertemuan bagi menentukan sikap terhadap Muhyiddin.
Ahli parlimen Pagoh itu merupakan presiden Bersatu.
Sebelum itu Presiden PKR, Anwar Ibrahim, mengumumkan dia mendapat sokongan majoriti kukuh daripada kalangan ahli parlimen pelbagai parti untuk membentuk kerajaan.
Wan Saiful berkata semua pihak juga perlu menghentikan sebarang percaturan politik yang boleh menggugat kestabilan pentadbiran negara seperti dititahkan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
“Dalam hal ini juga, ahli Bersatu di semua peringkat akan memberikan sokongan dan kepercayaan teguh kepada barisan kepimpinan kerajaan PN hari ini menangani cabaran pandemik Covid-19,” katanya.

