Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Cara hayati titah Agong ialah dengan teliti belanjawan sebelum sokong'

PKR menyanjung dan menghayati titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah agar kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara diutamakan dalam proses meluluskan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen bulan depan.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, berkata cara untuk menghayati titah nasihat baginda adalah dengan meneliti secara keseluruhan setiap perkara dalam belanjawan berkenaan kerana ia melibatkan wang rakyat.

“Titah nasihat yang datang dari istana merupakan nasihat yang datang daripada raja yang bijaksana. (Nasihat itu) Mesti dihayati.

“Dalam konteks ahli parlimen, cara menghayatinya ialah dengan scrutinize (meneliti) setiap patah perkataan, setiap angka... dari mana duit datang, dari mana hasil, ke mana dibelanjakan, dan kemudian membuat keputusan dalam institusi parlimen.

“Kerana setiap sen ini adalah duit rakyat,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Ahli parlimen Kulim Bandar Baharu itu diminta mengulas tentang pendirian PKR dalam isu Belanjawan 2021 serta titah nasihat Agong hari ini agar ahli Dewan Rakyat menghentikan perbalahan politik dengan mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara dan menyokong belanjawan berkenaan.

Kata Saifuddin, titah nasihat yang dikeluarkan itu akan disentuh dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang dijadual berlangsung esok.

Jelas Saifuddin, sebelum bersetuju atau tidak dengan belanjawan itu, menjadi tanggungjawab ahli parlimen untuk menelitinya terlebih dahulu kerana mereka perlu membahaskan belanjawan berkenaan di Dewan Rakyat.

Berdepan usul percaya, tak percaya

“Naluri kemanusiaan pun, kita ada sifat: sebelum bersetuju atau tidak bersetuju, sokong atau tolak, kita hendaklah tahu dulu satu-satu perkara.

“Dari sudut tanggungjawab sebagai ahli parlimen pun, kita kena tahu isi kandungan sesuatu belanjawan. Sebab kita akan berbahas.

“Belanjawan ini melibatkan polisi dan angka. Dia melibatkan maklumat pendapatan dan perbelanjaan negara. Yang kita nak belanjakan ini wang rakyat,” katanya lagi.

Usul Belanjawan 2021 menarik perhatian apabila terdapat spekulasi bahawa ia mungkin dijadikan medan untuk ahli parlimen membuat undi tidak percaya ke atas Muhyiddin selepas Agong menolak pelaksanaan perintah darurat yang dicadangkannya.

Amanah dan DAP sebelum ini memberikan bayangan akan menyokong usul berkenaan, namun hal itu akan dibincang lebih lanjut bersama PKR dalam mesyuarat esok. 

Menurut laporan Utusan Malaysia, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengakui menerima sejumlah usul termasuk undi tidak percaya dan undi percaya daripada ahli parlimen

Bagaimanapun, kata Azhar, usul lebih penting daripada pihak kementerian akan diutamakan untuk dimasukkan dalam aturan mesyuarat.

Usul percaya, jika dikalahkan, bermaksud Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat. 

Lihat Komen
ADS