Umno Pulau Pinang berharap kerajaan negeri tidak mengganggu pelaksanaan dua projek besar kerajaan Pusat di negeri itu, terutamanya dari aspek pengagihan kontrak kepada kontraktor bumiputera.

Ahli Jawatankuasa badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berharap kontraktor utama projek jambatan kedua itu, UEM Berhad, akan diberi kebebasan melantik sendiri sub-kontraktor tanpa campurtangan kerajaan negeri.

"Kita tidak mahu kerajaan negeri campurtangan seperti dalam projek-projek kerajaan negeri sebelum ini di mana kontraktor bumiputera negeri ini sering dianaktirikan," katanya mengulas keputusan kerajaan meluluskan projek jambatan kedua dan monorel di negeri tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengumumkan Kabinet meluluskan pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang dan melantik UEM sebagai kontraktor utamanya.

Kabinet juga meluluskan projek monorel di negeri itu dan akan membuka tender tidak lama bagi memilih kontraktor utamanya.

Musa mendakwa, sebelum ini kontraktor bumiputera negeri itu sering diketepikan dalam projek-projek kerajaan negeri ekoran tindakan pihak tertentu mengagihkan projek kepada beberapa kontraktor bukan bumiputera dan bumiputera sahaja.

"Kita memang kecewa dengan cara kerajaan negeri melayan kontraktor bumiputera Pulau Pinanag selama ini," tegasnya.

Kontraktor bumiputera

Beliau yang juga Ketua Umno Bukit Mertajam turut berharap UEM Berhad tidak membolot semua kontrak dalam projek jambatan tersebut.

"Sebagai kontraktor utama, kita harap UEM tidak memberikan projek kepada anak-anak syarikatnya sahaja kerana terdapat banyak kontraktor bumiputera di negeri ini yang mampu membuat kerja jika diberikan peluang.

"Kita juga melihat kedua-dua projek ini sebagai usaha kerajaan dan Perdana Menteri untuk membantu kontraktor bumiputera dan orang Melayu Pulau Pinang," tambahnya.

Menurutnya, masyarakat Melayu Pulau Pinang berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana menunaikan janjinya untuk membawa lebih banyak pembangunan ke Pulau Pinang dan berharap orang Melayu merebut sepenuhnya peluang yang wujud itu.

Projek jambatan kedua ini bernilai RM2.7 bilion, sepanjang 24 kilometer menghubungkan Batu Kawan di Seberang Prai dengan Batu Maung di bahagian pulau.

Pembinaan jambatan baru ini bagi mengatasi kesesakan di jambatan pertama yang menghubungkan Prai dengan Gelugur yang dibina 21 tahun lalu.

Projek monorel atau Sistem Aliran Ringan Pulau Pinang pula dianggarkan bernilai RM1.2 bilion. Ia akan menghubungkan Georgetown ke Bayan Lepas di selatan dan Tanjung Tokong di utara.