Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belanjawan 2021: K'jaan tak boleh jangkakan 'cek kosong' - Kit Siang
Diterbitkan:  Oct 30, 2020 10:24 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus tahu bahawa ia tidak mempunyai kuasa mutlak dalam Belanjawan 2021 dengan mengabaikan pandangan dan keperluan rakyat, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Lim sekali lagi menegaskan agar PN mengadakan perbincangan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) bagi mencapai perjanjian "keyakinan dan perbekalan", agar Belanjawan 2021 dapat diluluskan di parlimen.

“Parti-parti Pembangkang bersedia untuk memberikan respons positif jika parti-parti dalam kerajaan mampu untuk membentangkan visi perpaduan dan solidariti, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, kelas, mahupun latar belakang politik, untuk bersatu melawan Covid-19,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu kenyataan.

Dia berkata demikian sebagai respons terhadap titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah agar semua ahli parlimen menghentikan perbalahan politik dan meluluskan Belanjawan 2021.

Ekoran itu, majlis presiden PH semalam menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin segera memulakan perbincangan dengan pembangkang berhubung Belanjawan 2021, yang dijadual dibentangkan 6 Nov nanti.

"Bagaimanapun, pihak kerajaan tidak boleh menjangkakan satu cek kosong (mempunyai kuasa mutlak) untuk mengabaikan pandangan dan keperluan rakyat, tetapi perlu menyertai satu perbincangan yang positif dan konstruktif dengan para pemimpin Pakatan Harapan untuk mencapai persetujuan perjanjian perbekalan dan keyakinan ini supaya Belanjawan 2021 dapat diluluskan dalam Parlimen," kata Lim.

‘Letak kepentingan negara atasi parti'

Lim turut mempersoalkan komitmen PN untuk melangkaui politik kaum dan agama dan menyambut titah Agong yang dibuat lima hari selepas baginda menolak cadangan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat.

"Sekarang adalah masa untuk meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan politik kepartian dan diri sendiri, dan sekarang bukanlah masanya untuk mendapatkan jawatan dan kepentingan politik," katanya.

Ahad lalu, Agong menolak cadangan Muhyiddin untuk pengisytiharan darurat, sebaliknya mengingatkan ahli-ahli parlimen agar tidak menggugat kestabilan kerajaan.

Perjanjian keyakinan dan perbekalan dicadangkan di tengah ketidakpastian sokongan majoriti terhadap Muhyiddin di Parlimen, dengan kebimbangan bahawa usul Belanjawan 2021 mungkin gagal diluluskan.

Sekiranya belanjawan gagal diluluskan dengan undian, ia boleh dilihat sebagai usul tidak percaya ke atas perdana menteri.

Berdasarkan draf aturan mesyuarat pada sidang parlimen 2 November ini, seramai 25 ahli parlimen pembangkang memfailkan undi tidak percaya ke atas perdana menteri, manakala dua ahli parlimen kerajaan pula memfailkan undi percaya.

Lihat Komen
ADS