Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiga kuil, 6 gereja ditutup - PKPB Zon Nilai
Diterbitkan:  Oct 30, 2020 12:17 PM
Dikemaskini: 4:17 AM

Sebanyak sembilan rumah ibadat bukan Islam meliputi kuil dan gereja yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Zon Nilai ditutup, mulai Rabu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan J. Arul Kumar berkata ia membabitkan tiga kuil di Desa Jasmin, Desa Cempaka dan Desa Melati serta enam gereja yang beroperasi di rumah kedai di sekitar Bandar Baru Nilai.

"Selain itu, semua rumah ibadat kecil yang tidak berdaftar dengan kerajaan negeri perlu juga ditutup bagi membendung penularan Covid-19," katanya dalam sidang media khas mengenai PKPB Zon Nilai di Nilai, hari ini.

Sebanyak 35 lokaliti dan taman terlibat dalam pelaksanaan PKPB Zon Nilai.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 26 Okt lepas dilapor sebagai berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di Putra Point Nilai bermula 28 Okt lepas hingga 10 Nov, membabitkan dua lokaliti tempat tinggal pekerja (asrama) di kawasan itu, yang dikesan menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19 iaitu Jalan BBN 1/7B dan Jalan BBN 1/7F serta Jalan BBN 1/2E.

Bagi tempoh yang sama juga, Ismail Sabri berkata kerajaan turut bersetuju melaksanakan PKPB di Zon Nilai berikutan peningkatan kes positif Covid-19 warga asing di zon berkenaan.

Setakat semalam, Negeri Sembilan merekodkan 43 kes baru Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,559 kes.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS