Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Inspektor, sarjan direman bantu siasatan kes suapan RM5,000
Diterbitkan:  Oct 30, 2020 3:00 PM
Dikemaskini: 7:00 AM

Seorang pegawai polis berpangkat inspektor dan seorang anggota polis berpangkat sarjan masing-masing direman empat dan dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes menerima suapan sebanyak RM5,000 pada awal bulan ini.

Perintah reman terhadap lelaki berumur 32 dan 51 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Alor Setar Muhammad Zul Hilmi Latif selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber SPRM, kedua-dua polis itu disyaki bersubahat dengan seorang lelaki untuk menerima suapan daripada seorang lelaki lain berjumlah RM5,000 bagi menutup kes dan tidak ditahan atas kesalahan jenayah pecah rumah.

Sarjan berkenaan ditahan di depan sebuah restoran di Kulim pada 3.30 petang semalam manakala inspektor terbabit ditahan di pejabatnya di Kulim pada 5.25 petang semalam dan lelaki itu pula ditahan di Juru pada 5.25 petang Rabu lepas sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan kes itu dan berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

- Bernama

Lihat Komen
ADS