Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bincang belanjawan: Keputusan kini di tangan Muhyiddin - DAP
Diterbitkan:  Oct 30, 2020 3:22 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

PH dengan jelas telah menyatakan mereka sedia untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan berkenaan Belanjawan 2021.

Menurut Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, keputusan berkenaan perkara itu kini di tangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Kita telah menjelaskan pendirian kita. Kita dengan jelas mengatakan kesediaan untuk berbincang dengan kerajaan. Jadi sekarang kita tunggu maklum balas mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya jika PH akan mengundi untuk menolak belanjawan itu jika mendapat maklum balas yang dingin, Loke hanya berkata: "Terlalu awal untuk mengatakannya".

Majlis Presiden PH semalam menggesa Muhyiddin segera mengadakan perbincangan dengan pembangkang berhubung Belanjawan 2021, yang dijadual dibentang di Dewan Rakyat pada 6 November.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuaratnya, Majlis Presiden PH berkata belanjawan perlu memberi tumpuan kepada keperluan petugas barisan depan, mengenal pasti strategi baru untuk ekonomi dan membantu golongan yang hilang punca pendapatan akibat wabak Covid-19.

Walaupun belum ada sebarang respons rasmi daripada kerajaan, sumber dalam PH berkata beberapa pemimpin gabungan itu telah mengadakan "perbincangan tidak rasmi" dengan seorang "wakil" daripada Perikatan Nasional (PN) berkenaannya.

Majlis Presiden PH semalam setuju untuk menggesa perbincangan "terus dan rasmi" dengan perdana menteri.

"Bagaimana kita boleh berbincang dengan seseorang yang bukan datang terus daripada kerajaan? Kita perlukan perbincangan rasmi dan secara betul," kata seorang sumber yang menyertai mesyuarat itu.

Seorang lagi sumber PH berkata gabungan itu sedia untuk bersetuju dengan belanjawan, selari dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong.

"Tetapi kita perlu berunding secara terus dengan perdana menteri. Ini demi rakyat. Tolong jadikannya (perbincangan) rasmi," katanya.

Beberapa pemimpin PH sebelum ini ada membuat cadangan untuk Belanjawan 2021, antaranya Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Salahuddin dan Khalid menggesa peruntukan sama rata untuk semua kawasan Parlimen. Salahuddin turut mencadangkan moratorium pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Lim pula beberapa kali menyuarakan keperluan lanjutan moratorium tersebut - yang berakhir bulan lalu - dan ia sekali lagi ditekankan oleh Majlis Presiden PH semalam.

Pada masa sama, seorang sumber dari PKR berkata parti itu akan menggesa beberapa reformasi institusi.

"Kita perlu mencadangkan sesuatu yang bermanfaat secara institusi kepada semua ahli Parlimen, bukan dasar secara one-off sahaja. Akta Perkhidmatan Parlimen boleh jadi salah satunya," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS