Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Saya dah jalani 21 kali ujian Covid-19
Diterbitkan:  Oct 30, 2020 5:00 PM
Dikemaskini: 9:20 AM

Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa beliau berada di luar ibu negara yang diletakkan di bawah kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat hari ini bagi menjalankan tugasnya sebagai perdana menteri, antara lain bagi meninjau keadaan orang ramai dan perniagaan yang terjejas disebabkan Covid-19.

Beliau berkata ini merupakan antara tugasan yang mesti dijalankannya sebagai pemimpin negara untuk mengetahui sendiri situasi sebenar Covid-19, namun setiap Prosedur Operasi Standard tetap dijaganya.

Malah, katanya, sehingga kini beliau telah menjalani sebanyak 21 kali ujian saringan Covid-19.

“Semalam saya buat test (ujian), sudah 21 kali test. Pergi Sabah balik test, pergi mana balik test, setiap kali masuk parlimen test, mahu jumpa Agong pergi test, mahu mesyuarat kabinet pergi test,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi sembang santai bersama masyarakat Cina dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Cina Pagoh, di Muar, hari ini.

Petugas kerja siang malam

Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh berkata dalam situasi negara menghadapi gelombang ketiga Covid-19 sekarang, perkara paling utama bagi kerajaan ialah memastikan ekonomi negara kekal berjalan, rakyat dapat terus mencari kerja dan Covid-19 dihapuskan.

Beliau turut membayangkan pendekatan lebih tegas akan diambil sekiranya kes positif Covid-19 terus meningkat, namun memberi komitmen bahawa kerajaan bersedia berbelanja sekiranya perlu untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat dan kebajikan mereka terjaga.

“Kalau kita terpaksa belanja bilion, mahu jaga rakyat kita akan belanja wang… pasal bagi kita penting untuk penyakit Covid-19 ini kita atasi, saya tak tahu bila, berapa lama lagi, mungkin enam bulan, satu tahun, sekarang sudah tak tahan, kita punya frontliners (barisan hadapan) sudah tak tahan setiap hari kerja siang malam.

“Doktor sudah tak tahan tapi kena kerja, polis yang jaga keselamatan terpaksa kerja, tentera biasa duduk hutan kena ajak keluar bantu, frontliners yang lain pun sudah berapa bulan, tak boleh tahan.

“Jadi macam mana nak buat? Sebab itu yang jadi frontliner kita, jangan tunggu doktor jaga kita, kita jaga kita,” katanya.

Beliau turut menyentuh usaha kerajaan ketika ini dalam mendapatkan vaksin daripada negara-negara pengeluar termasuk dari China dan Eropah, namun semuanya masih dalam peringkat perbincangan, selain mengulangi komitmen China meletakkan Malaysia sebagai keutamaan sebaik mendapat vaksin.

Perdana menteri berkata urusan kerajaan dalam mengurus hal berkaitan Covid-19 berjalan setiap hari, dengan beliau sendiri mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Ekonomi.

“Komitmen kerajaan Perikatan Nasional, insya-Allah bila kita bentangkan Belanjawan 2021 ini kita ambil kira, cari jalan bantu selesaikan masalah rakyat, cari jalan, kita mesti dapat belanja lebih.

“Sekarang bila belanja lebih, defisit kita sudah naik, tetapi sekarang orang kata defisit naik tak naik, yang penting kita mesti jaga jiwa rakyat kita, nyawa rakyat kita jangan mereka terkorban,” katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS