Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dewan bedah Hospital Semporna dibuka semula - KP KKM
Diterbitkan:  Oct 30, 2020 5:16 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Dewan Bedah Hospital Semporna di Sabah yang telah selesai dinaik taraf, dibuka semula kepada orang awam hari ini sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan hospital itu bagi menangani pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan naik taraf itu, pembedahan melibatkan pesakit Covid-19 akan dilaksanakan di Dewan Bedah Hospital Semporna dan tidak semua pembedahan perlu dirujuk ke Hospital Tawau seterusnya membantu mengoptimumkan sepenuhnya kapasiti di hospital tersebut.

"Dewan bedah Hospital Semporna telah selesai dinaik taraf baru-baru ini. Dengan naik taraf ini, kesiapsiagaan Hospital Semporna dan juga kawasan pantai timur Sabah dapat dipertingkatkan bagi menghadapi pandemik ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus membantu negeri Sabah meningkatkan kesiapsiagaan hospital bagi menghadapi pandemik ini," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut mengucapkan tahniah kepada seorang wanita dari Kampung Panji Hujung, Semporna yang telah selamat melahirkan bayi lelaki seberat 2.9 kilogram (kg) menerusi pembedahan di Hospital Semporna.

"Seperti yang dimaklumkan Dewan Bedah Hospital Semporna telah dibuka semula bermula 30 Okt dan hari ini pembedahan (lower segment Caeserean section + bilateral tubal ligation) telah dilaksanakan oleh Dr Nadia Said (Pakar Perubatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Tawau) bersama kakitangan Hospital Semporna.

"Pesakit wanita ini yang dijadualkan pembedahan bersalin telah selamat melahirkan anak secara pembedahan pada jam 12.59 tengah hari di Hospital Semporna. 

"Emak dan bayi selamat dan berada di bawah jagaan Hospital Semporna. Alhamdulillah dan tahniah kepada pesakit tersebut!," katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS