Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan semua penjawat awam terima BPN - Cuepacs

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini menyelar pihak tertentu yang berpandangan penjawat awam tidak patut menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kerana tidak terjejas oleh penularan Covid-19.

Sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai pandangan sempit, Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata pemberian BPN ialah untuk isi rumah dalam kategori B40 dan M40 tanpa mengambil kira mereka bekerja di sektor kerajaan atau swasta.

“Jika pendapatan isi rumah mereka lebih daripada yang ditetapkan, maka ia tetap tidak layak walaupun bergelar penjawat awam. Begitu juga di sektor swasta, jika pendapatan isi rumah lebih daripada syarat ditetapkan mereka juga tidak layak untuk menerima BPN,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan seorang perunding kewangan menerusi program Sinar Live semalam yang menyatakan penjawat awam tidak sepatutnya menerima BPN kerana tidak terkesan atau tidak dipotong gaji sepanjang penularan Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Adnan juga menegaskan adalah tidak adil untuk mengatakan penjawat awam tidak layak menerima BPN hanya disebabkan mereka masih menerima gaji seperti biasa sepanjang PKP dan penularan Covid-19.

“Harus diingatkan sekali lagi, tidak semua pasangan penjawat awam turut sama-sama bekerja di sektor kerajaan. Ada dalam kalangan pasangan yang merupakan suri rumah sepenuh masa, bekerja sendiri seperti penjaja kecil serta bekerja di sektor swasta,” tegasnya.

Katanya ada juga dalam kalangan pasangan terbabit telah dibuang kerja, tidak dapat berniaga dan terjejas pendapatan.

“Dalam hal ini, tidak kira sektor mana mereka bekerja, jika isi rumah itu mempunyai pasangan terjejas, sewajarnya dibantu, apatah lagi dapatan daripada kerajaan mengelaskan isi rumah tersebut sebagai B40 atau M40.

“Justeru, adalah tidak adil jika kita melabelkan atau membuat keputusan dengan hanya melihat konteks yang sempit. CUEPACS percaya keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah adil dan memikirkan keseluruhan rakyat yang terkesan oleh Covid-19,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS