Malaysiakini
BERITA

Tamrin hantar notis tuntutan kepada Zuraida isu projek runding terus

Diterbitkan

Bekas ahli parimen Batu Berendam Tamrin Ghafar berkata telah menghantar notis tuntutan undang-undang kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berhubung kenyataan yang mengaitkannya dengan projek rundingan langsung stesen pemindahan sisa pepejal.

"Satu notis tuntutan atau notice of demand bertarikh 13hb Oktober 2020 telah di hantar oleh peguam saya, Ram Karpal Singh dari Tetuan Karpal Singh & Company kepada Zuraida.

"Notis tuntutan tersebut telah diakui terima oleh setiausaha politik beliau pada 14 Oktober 2020," kata Tamrin pada satu kenyataan hari ini.

Kata Tamrin, notis tuntutan serupa juga telah dihantar kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, beberapa "blogger" dan pihak lain yang didakwa telah mencemarkan nama baiknya, termasuklah Ahli MT Bersatu, Aziz Yassin.

"Saya akan teruskan tindakan undang-undang terhadap mereka jika sekiranya mereka gagal memenuhi tuntutan saya.

"Saya bersedia bekerjasama dengan polis dan SPRM jika diperlukan,” kata Tamrin.

Sebelum ini, Zuraida mendakwa bahawa Tamrin, sebagai penasihat Bumi Segar Indah, telah berjumpa menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng untuk secara langsung merundingkan projek stesen pemindahan sisa pepejal di Taman Beringin, Jinjang Utara, pada 26 Nov 2018.

Ahli parlimen Ampang itu mendakwa Lim telah menasihati Bumi Segar Indah untuk menghantar cadangan formal dan akhirnya menyetujui projek itu melalui surat bertarikh 20 Februari 2019.

Tamrin kemudian menafikan dakwaan ini, berkata projek berkenaan telah diberikan melalui rundingan terus semasa pemerintahan BN pada 2017 dan menteri yang bertanggungjawab ketika itu ialah Mohd Noh Omar.

Projek pemindahan sisa pepejal adalah antara 101 projek rundingan langsung yang didakwa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz telah diluluskan oleh kerajaan PH.

Bagaimanapun, sebahagian besar projek dalam senarai itu diluluskan semasa pemerintahan BN di Putrajaya.

[Baca laporan asal]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan