Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Berhenti utamakan kelangsungan politik sendiri, kata Guan Eng pada PM
Diterbitkan:  Nov 1, 2020 8:11 PM
Dikemaskini: 12:11 PM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus berhenti mengutamakan kelangsungan politik sendiri, sebaliknya memberikan lebih tumpuan kepada usaha memerangi Covid-19 yang kini memasuki gelombang ketiga, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Kata Lim ketika ini presiden Bersatu itu kelihatan masih mahu memberikan alasan mengapa darurat diperlukan di negara ini seperti yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Menurutnya darurat hanya akan membawa kesan buruk terhadap ekonomi, keyakinan pelabur, sistem demokratik dan perpaduan nasional.

"Muhyiddin harus menghormati titah diraja yang menolak permintaannya untuk mengisytiharkan darurat nasional bagi memerangi Covid-19.

"Daripada menjunjung setia titah diraja seperti yang diperlukan mengikut kapasitinya sebagai perdana menteri, Muhyiddin masih mencuba untuk memberikan alasan perlunya keadaan darurat dan nampak tidak berputus asa untuk membuat permintaan serupa di masa depan," katanya.

Ahli parlimen Bagan itu juga mendakwa alasan yang diberikan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat - iaitu bagi mengelakkan pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi di Sabah dan kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak - adalah tidak masuk akal.

Kata Lim Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan membenarkan keadaan darurat diisytiharkan di sesuatu daerah tertentu saja dan bukannya di seluruh negara.

Semalam melalui perutusan khasnya Muhyiddin berkata hanya darurat boleh PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak. Kerusi Batu Sapi kosong ekoran kematian penyandangnya, Liew Vui Keong, pada 2 Okt lalu.

PRN Sarawak pula dijangka diadakan dalam tempoh terdekat berdasarkan kenyataan dibuat beberapa pemimpin politik negeri itu. Bagaimanapun untuk rekod penggal yang ada sekarang hanya akan luput pada Jun 2021.

Beberapa pihak berpendapat jika kerajaan Sarawak menunggu sehingga tahun depan, kemungkinan besar wabak Covid-19 sudah dapat dikawal berbanding sekarang.

Langkah Muhyiddin memohon perkenan Agong untuk mengisytiharkan darurat dilihat pembangkang tidak lebih daripada cubaan ahli parlimen Pagoh itu menyelamatkan kedudukannya sebagai perdana menteri.

Kata Lim Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan sendiri berpendapat masih ada cara lain untuk mengelakkan PRK Batu Sapi berlangsung, iaitu semua parti bersepakat memberi laluan kepada Warisan mengekalkan kerusi berkenaan. 

"Kerajaan Perikatan Nasional boleh memulakan tindakan dengan penuh tanggungjawab melalui Belanjawan Perpaduan 2021 yang merangkumi semua input dan menggabungkan dasar dari luar kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat biasa untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian," katanya.

Lihat Komen
ADS