Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kakitangan parlimen dijangkiti Covid-19, sidang tangguh awal
Diterbitkan:  Nov 2, 2020 12:43 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Sidang Dewan Rakyat yang baru bermula pagi ini - dan sepatutnya berakhir pada jam 5 petang - dicadang agar dipendekkan hingga jam 1 petang saja pada minggu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan ketika mencadangkan usul itu berkata, ia susulan beberapa kakitangan Dewan Negara didapati positif Covid-19.

Takiyuddin berkata, cadangan itu juga diusulkan selepas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan risiko amat tinggi jika persidangan berlangsung dalam tempoh lama.

“Saya rasa perlu yang berhormat dapatkan penjelasan daripada ketua whip yang bersetuju, yang perlu kita ubah sedikit, tempoh persidangan tidak ada persidangan sebelah petang.

“Kami dinasihatkan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) risikonya amat tinggi, kedudukan kita dalam keadaan tertutup, walaupun ada cermin ini, sejauh mana elakkan penularan (tidak diketahui).

“Tetapi KKM katakan lebih lama kita berada bersama dalam keadaan ini risikonya amat tinggi sekali, atas dasar itu kita cadangkan perkara ini di bawa ke sini tanpa sebarang prejudis,” katanya.

Menurut Takiyuddin, perkara itu sudah pun dibincangkan wakil parti bersama Noor Hisham dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, mengulas lanjut Takiyuddin tidak memperincikan berapa jumlah Dewan Negara yang disahkan dijangkiti wabak itu.

"Sepatutnya kita tak uar-uarkan perkara ini untuk kepentingan awam. Beberapa kakitangan Dewan Negara disahkan positif Covid-19 dan dijangkakan ada ahli Dewan Negara yang mungkin positif kerana pegawai tersebut telah berhubung dengan ahli Dewan Negara ini dan keluarga.

"Ini kebimbangan-kebimbangan yang membimbangkan kita.

"Jadi, saya rasa perlu untuk ahli yang berhormat mendapatkan penjelasan daripada ketua whip masing-masing yang telah bersetuju untuk kita membuat sedikit perubahan berhubung dengan tempoh masa persidangan kali ini," kata Takiyuddin.

Sementara itu, Senator Ras Adiba Radzi dalam satu kenyataan mengesahkan pegawai khasnya yang juga ahli keluarga didapati positif Covid-19 dan sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Dia juga memaklumkan 10 ahli keluarganya sedang menunggu keputusan saringan Covid-19.

Usul penangguhan itu diluluskan setelah pertanyaan daripada anggota parlimen PH meminta penjelasan lebih lanjut mengenai berapa lama sidang parlimen itu akan dipendekkan, langkah untuk mengadakan sesi parlimen secara maya dan tempoh waktu yang diperlukan bagi menggantikan sidang yang terpaksa disingkat itu.

Sejurus usul itu diluluskan, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) bangun mencelah dan meminta masa untuk ketua parti berunding dengan cadangan parti itu.

Azhar hari ini dimaklumkan telah mempengerusikan mesyuarat khas mengejut berhubung dua keutamaan yang perlu diberi fokus pada sidang kali ini.

Menurut Takiyuddin dua keutamaan tersebut ialah usaha menangani wabak Covid-19 dan keutamaan sidang parlimen memberikan fokus kepada Belanjawan 2021.

Mesyuarat itu melibatkan anggota Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk-BN), Ismail Sabri Yaakob (Bera-BN), Shahidan Kassim (Arau-BN), Nik Muhammad Zawawi (Pasir Puteh-PAS), Azmin Ali (Gombak-Bersatu), Fadillah Yusof (Petra Jaya-PBB), Johari Abdul (Sungai Petani-PKR), Anthony Loke (Seremban-DAP), Hasanuddin Yunus (Hulu Langat-Amanah) dan Rosman Isli (Labuan-Warisan).

Bagaimanapun, Takiyuddin menjelaskan langkah memendekkan tempoh itu hanya untuk persidangan pada minggu ini.

Katanya, langkah kawalan tersebut akan dibincangkan semula untuk sesi perbahasan Belanjawan 2021 yang akan bermula minggu depan.

"Mungkin (sesi yang dipendekkan) akan berlaku untuk minggu ini saja. Sesi selepas belanjawan (dibentangkan) akan dibincangkan dengan ketua parti masing-masing, ” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS