Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembantu kedai makan dipenjara kerana tak pakai pelitup muka

Dua pembantu kedai makan warga Indonesia masing-masing dipenjara lima hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini selepas mengaku bersalah tidak memakai pelitup muka dan bekerja di kedai makan melebihi waktu yang dibenarkan.

Majistret M Barath menjatuhkan hukuman itu terhadap Asep Iskandar Nasutian, 23, dan Dasmun Sanrusdi, 30, dan memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 20 Okt lepas.

Mengikut pertuduhan, Asep Iskandar didakwa telah gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah (KP) Kesihatan untuk mengambil langkah bagi maksud mencegah dan mengawal apa-apa penyakit berjangkit dengan tidak memakai pelitup muka di Kedai Makan Kendi Besar di Taman Medan, di Petaling Jaya pada 11.15 malam, 20 Okt.

Dasmun pula didakwa telah gagal mematuhi arahan KP Kesihatan dengan bekerja di premis kedai makan melebihi pukul 10 malam di tempat, masa dan tarikh sama. Waktu dibenarkan operasi bagi kedai makan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ialah dari 6 pagi hingga 10 malam.

Mereka dituduh mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, kedua-dua lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan mereka bekerja sebagai pembantu kedai makan, bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zafirah Syed Mustapa memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

- Bernama

Lihat Komen
ADS