Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penjelasan tentang 'peruntukan Ahli Parlimen' dalam belanjawan

PANDUANKINI | Menjelang pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini, ahli Parlimen pembangkang menggesa ke arah "belanjawan perpaduan", di tengah-tengah kebimbangan ia bakal menjadi platform undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, setelah menolak pengisytiharan darurat yang ingin dilakukan kerajaan, Yang di-Pertuan Agong menasihati ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 dan memastikan ia dapat diluluskan.

Sejumlah pemimpin PH kemudian bertemu Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk berbincang mengenai belanjawan itu.

Antara cadangan ahli Parlimen pembangkang ialah "belanjawan perpaduan" - antaranya agar kerajaan memberikan peruntukan sama rata terhadap semua wakil rakyat.

Malaysiakini menjelaskan tentang peruntukan ahli Parlimen dan mengapa pembangkang menggesa ia diberikan secara sama rata.

Apakah peruntukan ahli Parlimen dan kegunaannya?

Setiap ahli Parlimen diberi peruntukan dalam jumlah tertentu oleh kerajaan persekutuan untuk digunakan di kawasan masing-masing.

Mereka boleh memohon peruntukan untuk pembangunan di kawasan mereka, seperti pembinaan dewan komuniti yang baru.

Mereka juga boleh memohon peruntukan dalam bentuk geran atau sumbangan kepada NGO atau pertubuhan lain di kawasan mereka.

Berapa jumlah yang diterima?

Ahli Parlimen mendapat jumlah peruntukan yang berbeza - bergantung sama ada mereka di pihak kerajaan atau pembangkang.

Ketika pentadbiran PH, seorang ahli Parlimen kerajaan boleh memohon sehingga RM3.5 juta setahun.

Jumlah itu dibahagikan kepada RM2 juta untuk tujuan pembangunan dan RM1.5 juta untuk geran dan sumbangan.

Pada awal tahun ini, selain jumlah itu, ahli Parlimen kerajaan di Sabah dan Sarawak turut menerima tambahan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk tujuan pembangunan.

Adakah wujud peruntukan lain untuk ahli Parlimen?

Ada, tetapi hanya untuk ahli Parlimen kerajaan. Mereka mendapat tambahan RM300,000 setahun untuk perbelanjaan di pusat khidmat mereka.

Ahli Parlimen pembangkang pula tidak menerima sebarang peruntukan tambahan daripada kerajaan persekutuan.

Sejumlah ahli Parlimen BN mengkritik perkara ini ketika pentadbiran PH kerana gabungan itu dalam manifestonya telah menjanjikan peruntukan "berdasarkan formula yang telus" kepada semua ahli Parlimen untuk menjalankan tugas dan menguruskan pusat khidmat.

Berdasarkan sebelum ini, apakah perbezaan peruntukan antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang?

Sebelum ini, ahli pembangkang sama ada tidak mendapat peruntukan langsung untuk kawasan mereka, atau mendapat jumlah yang kecil.

Pada 2010, ahli Parlimen Sungai Siput ketika itu, Dr Michael Jeyakumar membawa kerajaan persekutuan ke mahkamah atas dakwaan menyekat peruntukan untuk kawasannya.

Pada masa itu, dia berkata diberitahu bahawa kerajaan persekutuan telah memberikan RM2 juta untuk kawasannya, tetapi tidak melihat langsung wang tersebut.

Kes dibawa sehingga ke Mahkamah Persekutuan. Jeyakumar bagaimanapun kalah dalam kes itu.

Peruntukan ahli Parlimen berbeza dengan gaji mereka?

Ya, peruntukan tersebut tidak sekali dengan gaji dan elaun yang diterima, yang berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

Untuk rekod, ahli Parlimen menerima gaji dan elaun sebanyak RM25,700 sebulan.

Mereka juga boleh menuntut elaun dan subsidi lain, seperti RM400 sehari untuk kehadiran di sidang Dewan Rakyat atau RM1,000 setiap tiga tahun untuk subsidi membeli pakaian formal.

Siapa yang menggesa peruntukan diberi sama rata dalam belanjawan kali ini?

Pada 22 Oktober, bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan perjanjian "keyakinan dan perbekalan", di mana wakil rakyat atau parti setuju menyokong usul berkenaan keyakinan atau belanjawan oleh kerajaan.

Bagaimanapun ia dengan syarat semua ahli Parlimen diberi peruntukan sama untuk kawasan mereka.

Beberapa hari kemudian, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub turut menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberikan peruntukan sama terhadap semua ahli Parlimen.

Mengapa mereka membuat seruan itu?

Syed Saddiq berkata ia penting bagi menghentikan amalan lompat parti di kalangan wakil rakyat.

Bagi Salahuddin pula, semua ahli Parlimen perlu diberi peruntukan sama kerana mereka perlu berkhidmat kepada rakyat.

"Semua ahli Parlimen bertugas untuk rakyat. Kalau peruntukan diberi hanya untuk ahli parlimen yang menyokong kerajaan, sedangkan belanjawan perlu dapat sokongan semua, seadilnya (peruntukan) diberi kepada semua ahli parlimen," katanya.

PANDUANKINI ini disediakan oleh Geraldine Tong

Lihat Komen
ADS