mk-logo
Berita
Cadangan Mat Hasan elak PRK Batu Sapi tak munasabah, kata Armada
Diterbitkan:  Nov 2, 2020 9:50 AM
Dikemaskini: 9:50 AM

Seorang pemimpin Pemuda Bersatu (Armada) menyifatkan cadangan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan agar semua parti memberi laluan kepada Warisan mengekalkan kerusi parlimen Batu Sapi sebagai "tidak munasabah."

Pengerusi Biro Perundangan Armada Malaysia, Mohamad Siddiq Mohamad Azani, berkata pengisytiharaan darurat merupakan satu-satunya langkah selamat untuk mengelakkan pilihan raya kecil (PRK) itu diadakan.

"Kenyataan timbalan presiden Umno mengenai keperluan darurat bagi mengelakkan PRK Batu Sapi adalah terjurus dari satu sudut pandang sahaja.

"Ini kerana sekalipun BN atau PN tidak meletakkan calon pada PRK Batu Sapi kali ini, ia tidak menghalang calon-calon bebas dan parti-parti tempatan lain yang ada di Sabah untuk meletakkan calon mereka.

"Sekiranya ini berlaku, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada pilihan lain melainkan terpaksa meneruskan proses pilihan raya merangkumi tempoh berkempen sehinggalah hari membuang undi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas pandangan Mohamad semalam bahawa (PRK) Batu Sapi tidak perlu diadakan sekiranya semua parti mengambil keputusan tidak bertanding dan memberi laluan kepada Warisan memenangi kerusi itu.

Mohamad Siddiq (gambar) berkata yang lebih membimbangkan untuk mengadakan PRK adalah keselamatan dan kesihatan keseluruhan penduduk di Batu Sapi dan para petugas SPR yang akan terdedah kepada risiko penularan jangkitan wabak Covid-19.

"Kebimbangan petugas-petugas SPR ini bukanlah rekaan. Mereka akan terdedah kepada risiko jangkitan wabak ini sekiranya pilihan raya diadakan.

"Pada 2 Okt lalu, SPR mengesahkan tiga orang petugasnya di PRN Sabah telah dijangkiti virus Covid-19.

"Ini merupakan antara faktor mengapa pengisytiharaan darurat merupakan satu-satunya langkah selamat untuk mengelakkan pilihan raya diadakan," katanya.

Menurut Mohamad Siddiq berdasarkan Perkara 54 dan 55 Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari selepas dewan dibubarkan atau berlaku kekosongan kerusi luar jangka.

"Atas kehendak undang-undang, pilihan raya ini tidak boleh ditangguhkan melainkan dengan pengisytiharaan darurat sahaja," tambahnya lagi.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini