Gempa Turki: Gadis 4 tahun diselamatkan selepas 91 jam
GLOBAL l Pekerja penyelamat Turki pada Selasa menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dari bawah runtuhan bangunan, 91 jam selepas gempa kuat melanda wilayah Izmir di barat Turki, menurut media tempatan, lapor Agensi Berita Xinhua.
Rakaman secara langsung penyiar NTV menunjukkan pekerja penyelamat menarik kanak-kanak itu keluar daripada runtuhan.
Seorang penyelamat memberitahu NTV pasukan itu menemui mangsa di dapur apartmennya, dan dalam keadaan baik.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turki menyatakan jumlah kematian dalam gempa bumi meningkat kepada 102 orang, dan seramai 1,026 cedera dalam gempa tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan sepanjang waktu di celah-celah runtuhan lima bangunan di wilayah itu, tambah AFAD.
Gempa berkekuatan 6.6 melanda Laut Aegea di luar daerah Seferihisar di Izmir pada Jumaat.
- Bernama

