Mereka yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) perlu diberi bekalan makanan yang mencukupi selaras dengan prosedur operasi standard (SOP), kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya bekalan makanan harus diberikan kepada semua individu termasuk warga asing yang terperangkap.

"Sepatutya tidak timbul perkara seperti ini kerana bekalan makanan memang dihantar kepada mereka tetapi kalau ada timbul di kawasan-kawasan tertentu yang tidak mendapat bekalan makanan, saya harap hubungi pihak di negeri terutama jawatankuasa pengurusan bencara negeri,"  katanya.

Ismail berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai aduan berhubung bekalan makanan yang tidak mencukupi di kawasan PKPD.

Dari aspek SOP, katanya, bekalan makanan disediakan kerajaan negeri, kerajaan persekutuan atau mana-mana pihak serta ia merupakan tanggungjawab jawatankuasa pengurusan bencana negeri.

Pada 29 Okt lalu penduduk Taman Semarak, Tawau mengadakan bantahan dan  meminta pihak berwajib melonggarkan penguatkuasaan PKPD di kawasan itu dari 26 Okt hingga 8 Nov.

Masalah tersebut diselesaikan pada hari berikutnya setelah mereka menerima bungkusan makanan.