ATM akan hukum 7 anggotanya yang jadi pengawal Dr M
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengambil tindakan tegas terhadap tujuh anggotanya dari Kem Briged 8, Pengkalan Chepa, Kelantan, yang menjadi pengawal keselamatan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, semasa lawatan bekas perdana menteri itu ke Kelantan, baru-baru ini.

Panglima ATM Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata tujuh anggota terbabit sedang disiasat oleh lembaga disiplin ATM.
"Anggota tentera dilarang terbabit dalam politik atau bertugas untuk ahli politik semasa masih dalam perkhidmatan. Ia merupakan kesalahan serius dan tindakan tegas menunggu mereka.
"Keputusan kes itu akan dibuat tidak lama lagi dan saya harap kejadian ini tidak berulang pada masa depan... ia akan menjejaskan nama baik Angkatan Tentera Malaysia," katanya kepada pemberita di ibunegara.
Mohd Anwar berkata jika sabit kesalahan, perkhidmatan tujuh anggota terbabit boleh digantung sementara.
Menurut laporan Bernama, pada 28 Julai lepas, seorang lelaki menyembur semburan pemedih mata ke arah bekas Perdana Menteri itu setibanya beliau di lapangan terbang Kota Baharu, Kelantan.
Dr Mahathir yang mengadakan lawatan sehari ke Kelantan, dijadual menghadiri majlis dialog dan jamuan malam anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan.
Ekoran kejadian itu, 27 saksi, tujuh daripadanya dipercayai anggota ATM, dipanggil untuk membantu polis dalam siasatan.