Paling Popular
Terkini

Dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018, rakyat Malaysia mengejutkan negara dan dunia dengan menolak kleptokrasi dan skandal kewangan 1MDB.

Rakyat Malaysia menumbangkan kerajaan yang pada masa itu menjadi punca negara kita terkenal di seluruh dunia dengan skandal kewangan 1MDB dan sebagai sebuah kleptokrasi global.

Namun, adakah kleptokrasi telah terkubur di Malaysia atau akan datang semula?

Adakah rakyat Malaysia telah mendapat pengajaran daripada skandal 1MDB atau adakah kita akan berhadapan dengan satu lagi skandal sepertinya - merompak berbilion ringgit wang pembayar cukai dan mencemarkan nama negara ke seluruh dunia?

Persoalan-persoalan ini kembali relevan minggu ini, terutamanya selepas diumumkan mantan perdana menteri, yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, dilantik sebagai pengerusi Kelab Backbenchers Barisan Nasional (BNBBC) di parlimen.

Dalam tahun-tahun terakhir persidangan parlimen ke-13, terutamanya daripada tahun 2015 sehingga tahun 2018, isu negara kita menjadi kleptokrasi global dan skandal 1MDB ini diharamkan daripada dibahaskan di parlimen.

Kurang dua tahun selepas pengharaman ini dibatalkan, kita kembali ke era yang sama. Punca utama skandal 1MDB dan kleptokrasi di Malaysia ini kembali. Menteri dan timbalan menteri ketika itu tidak menunjukkan rasa bersalah di parlimen kerana membiarkan negara kita menjadi sebuah kleptokrasi global dengan skandal ini.

Seperti dikatakan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakiman 500 muka suratnya berkata Najib tidak pernah menunjukkan rasa bersalah, malah kekal mengatakan tidak bersalah dalam ucapan mitigasinya.

Nazlan mensabitkan Najib bersalah atas kesalahan rasuah, pengubahan wang haram, dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan kes SRC yang bernilai RM42 juta dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta kepada Najib.

Saya telah berikan masa kepada Najib untuk memberikan penjelasan mengenai pelantikannya sebagai pengerusi BNBBC. Dan saya berterima kasih kepadanya kerana menjelaskan perkara ini di Facebook semalam.

Dia benar-benar komited untuk membuat kemunculan semula. Dan saya terkejut dengan BN, sama ada Umno, MCA, mahupun MIC, yang masih lagi tidak mengambil apa-apa pengajaran daripada penolakan rakyat terhadap mereka dalam PRU14.

Tidak ada sebarang sebab untuk kita takut dengan Najib. Tetapi saya amat takut untuk melihat kleptokrasi dan skandal kewangan seperti 1MDB kembali. Ini memandangkan integriti dan agenda antirasuah belum bertapak kukuh di negara kita.

Kedudukan terendah TI-CPI di erah Najib

Malaysia mencatatkan kedudukan terbaik negara kita dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah 2019 Transparency International (TI-CPI) pada bulan Januari tahun ini.

Perkara tersebut merupakan antidot terbaik untuk keadaan suram negara kita ketika itu, yang diharapkan menjadi pencetus penyampaian janji-janji reformasi pilihan raya Pakatan Harapan (PH) dalam tahun 2020.

Namun begitu, perkara ini tidak berlaku, memandangkan kerajaan PH ini telah ditumbangkan oleh konspirasi Langkah Sheraton yang mewujudkan kerajaan kakistokrasi pintu belakang yang tidak sah.

Semasa Transparency International mula menerbitkan laporan TI-CPI ini pada tahun 1995, negara kita berada di tempat ke-23 daripada sejumlah 41 buah negara, dengan markah 5.28/10. Pada tahun 1996, negara kita berada di tempat ke-26 daripada 54 buah negara, dengan markah 5.32/10.

Dalam tempoh suku abad yang lepas, kita kalah daripada segi integriti awam berbanding banyak negara lain. Negara-negara lain seperti Indonesia dan China pula mencatatkan banyak penambahbaikan dalam usaha antirasuah.

Bawah pemerintahan Najib, Malaysia mencatatkan kedudukan terendah dalam TI-CPI 2017 pada kedudukan ke-62 (terendah bagi negara kita dalam tempoh 25 tahun, sejak 1995), dengan markah 47 per 100.

Dalam TI-CPI 2019, Malaysia berada pada kedudukan ke-51 dengan markah 53, mencatatkan peningkatan tahunan enam markah dan 10 kedudukan dalam TI-CPI, yang merupakan pencapaian terbaik negara kita.

Saya telah menjangkakan penambahbaikan dalam kedudukan dan markah TI-CPI 2019 negara kita, tetapi, saya tidak menjangkakannya menjadi sebaik ini.

Saya berharap laporan TI-CPI 2019, yang terbaik dalam tempoh 25 tahun, akan menjadi asas kepada sebuah era baharu antirasuah di Malaysia dengan mencapai markah dan kedudukan lebih baik dalam laporan TI-CPI 2020 yang akan diterbitkan pada Januari 2021.

Begitu juga dengan tahun-tahun yang akan datang, diharapkan ia meletakkan Malaysia dalam kelompok 30 negara teratas dari segi integriti awam menjelang 2030.

Malangnya, perkara ini tidak berlaku. Dengan pelantikan Najib sebagai pengerusi BNBBC, tanpa menunjukkan sebarang rasa bersalah kerana menyebabkan skandal 1MDB dan menyebabkan negara kita dilabel sebagai sebuah kleptokrasi global, saya pesimis dengan laporan TI-CPI 2020 yang akan diterbitkan dalam masa tiga bulan yang akan datang.

Untuk menarik perhatian negara daripada fokus kepada isu 1MDB dan kleptokrasi global, mantan perdana menteri tersebut telah memacu kempen peperangan siber terhadap pemimpin DAP, menuduh saya anti-Melayu, anti-Islam, dan antiraja, komunis, saudara Setiausaha Agung PKM Chin Peng. Kononnya saya lahir di China dan datang ke Malaysia semasa dewasa.

Semua ini adalah penipuan semata-mata. Retapi politik penipuan dan berita palsu ini, bersama dengan politik ekstrem perkauman dan keagamaan telah membawa kerosakan yang besar terhadap usaha untuk membina sebuah negara pelbagai kaum, agama, bahasa, dan budaya, yang bersatu padu dan berjaya.

Kini dengan kleptokrasi menunjukkan tanda-tanda untuk datang kembali, rakyat Malaysia perlu mengambil pengajaran dan mengingati pengalaman pahit masa lepas.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS