Belanjawan 2021: Pemuda Umno Kelantan tuntut 4 perkara
Pemuda Umno Kelantan mengemukakan empat tuntutan untuk dipertimbang kerajaan dalam Belanjawan 2021 yang dijadual dibentang di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.
Ketuanya Noor Hariri Mohamed Noor berkata, empat perkara itu adalah "usaha tuntas" untuk meringankan kesempitan hidup rakyat di tengah-tengah wabak Covid-19.
"Tuntutan pertama adalah mewujudkan skim bantuan kebajikan belia bekerja yang berusia bawah 30-an dalam golongan B40, memandangkan golongan umur seperti ini baru memulakan kehidupan berkeluarga yang mana pendapatan pun masih belum stabil.
"Kerajaan juga perlu mewujudkan skim dana kebajikan bagi mahasiswa di universiti dan kolej untuk meringankan beban tanggungan yuran belajar dan tempat tinggal," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dua lagi tuntutan adalah dana khas untuk golongan muda yang terlibat dalam ekonomi 'gig' serta membenarkan pencarum mengeluarkan wang mereka dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Kita berharap kerajaan meluluskan pengeluaran caruman maksimum RM10,000 KWSP kepada pencarum. Ini sudah tentu memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas," katanya lagi.

