Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trump tuntut kiraan di Georgia dihentikan
Diterbitkan:  Nov 5, 2020 11:47 AM
Dikemaskini: 3:47 AM

GLOBAL l Kempen Pilihan Raya Presiden Donald Trump menfailkan tuntutan mahkamah di Georgia menuntut supaya kiraan undi dihentikan, lapor Agensi Sputnik memetik Associated Press.

Terdahulu pada Rabu kempen Trump memfailkan tuntutan mahkamah yang sama di Michigan dan Pennsylvania.

Kempen Trump mempersoalkan mengapa pemerhati dilarang masuk ke pusat pengundian.

Calon Demokrat Joe Biden ketika ini dilihat mendahului Trump dengan 264-214.

Biden mungkin boleh mencipta kemenangan dalam kancah perebutan jawatan presiden andai kemenangan di Nevada berpihak kepadanya, menurut Fox News.

Mahu kiraan semula

Di Wisconsin, kempen presiden AS, Donald Trump akan "segera" memohon supaya undi di negeri itu dikira semula, kata pengurusnya Bill Stepien dalam satu kenyataan pada Rabu, lapor Agensi Sputnik.

Calon Demokrat Joe Biden di depan mengatasi Trump dengan 0.6 peratus selepas 99 peratus undi dikira, menurut CNN.

"Ada keraguan serius tentang kesahihan keputusan. Presiden mahu undi dikira semula dan kami akan melakukannya dengan segera,” kata Stepien.

Wisconsin memiliki sepuluh undi elektoral.

Calon presiden boleh meminta undi dikira semula jika marginnya kurang satu peratus.

Biden atasi Trump di Michigan

Di Michigan, calon Demokrat Joe Biden sedang mendahului Trump, lapor Agensi Anadolu (AA) menurut tinjauan terbaru pada Rabu.

Biden memperoleh 49.5 peratus undi berbanding Trump 48.9 peratus, menurut The Associated Press pada 11.42 pagi waktu tempatan (1637GMT).

Di Wolverine yang mempunyai 16 undi elektoral, 96 peratus undi dilaporkan sudah dikira.

Bagaimanapun, Biden dan Trump saling bersaing rapat di beberapa kawasan utama lain.

Di Georgia, Carolina Utara, Pennsylvania dan Alaska, Trump masih berada di depan, sementara Biden mendahului di Wisconsin dan Nevada.

Pada 2016, Trump memenangi Michigan dengan hampir 11,000 undi menewaskan Hillary Clinton.

- Bernama

Lihat Komen
ADS