Saya dalam fikiran 'kotor' Lim setiap hari, sindir Najib
Bekas perdana menteri Najib Razak membangkitkan tindakan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang beberapa kali menyentuh soal pelantikannya sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) pada 1 November lalu.
Secara menyindir, Najib berkata dia dilantik sebagai BNBBC dan bukannya DAPBBC.
"Sejak hari Isnin, uncle (Lim) dah buat enam hantaran untuk mempertikaikan keputusan dalaman BN untuk lantik saya sebagai pengerusi BNBBC. Begitu kuat obsession Kit Siang pada saya. Begitu kuat takutnya pada saya.
"Ini BNBBC, bukan DAPBBC. Uncle faham atau tidak?" katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Pada 1 Nov lalu, Najib dilaporkan dipilih sebagai pengerusi BNBBC, iaitu ketua kepada ahli Parlimen BN yang tidak termasuk dalam kerajaan.
Laporan The Malaysian Insight memetik sumber sebagai berkata, bekas perdana menteri itu diberikan peranan utama bermula sidang Dewan Rakyat kali ini, terutama dalam perbahasan Belanjawan 2021.
Dalam pada itu, Najib mengingatkan Lim bahawa jawatan yang disandangnya itu bukan lantikan kerajaan dan tidak bergaji.
"Ini bukan lantikan kerajaan. Jawatan yang tak bergaji. Kerjanya untuk merancang hujah-hujah ahli parlimen BN dalam Dewan Rakyat, terutamanya untuk Belanjawan 2021.
"Orang lain fikir masalah Covid-19 dan bantuan ekonomi pada rakyat sengsara tiap-tiap hari. Saya pula dalam fikiran 'kotor' uncle tua ini tiap-tiap hari," katanya.

