Seorang bekas pengurus kilang terbunuh selepas dilanggar sebuah lori di Jalan Kuala Kangsar, Kawasan Perindustrian Chemor, Perak semalam. Kejadian berlaku kira-kira jam 7.45 malam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP A Asmadi Abdul Aziz memberitahu Bernama, lelaki terbabit dipercayai menceroboh sebelum merempuh sebuah bangunan kilang kira-kira sejam sebelum kematiannya.

Difahamkan insiden itu menyebabkan kereta yang dinaiki suspek terbakar.

Kata A Asmadi, anggota bomba dan penyelamat kemudian memadamkan api tersebut. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan jumlah kerugian pihak kilang akibat kejadian itu dianggarkan bernilai RM1 juta.

"Punca kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati terhadap pihak pengurusan kilang selepas diberhentikan baru-baru ini.

"Suspek digantung kerja sejak Sept lepas atas alasan masalah disiplin kerana mengugut pihak atasan kilang," katanya seperti dipetik Bernama malam tadi.

Terdahulu lelaki berusia 52 tahun itu memuat naik satu klip video memaparkan dia meluahkan rasa tidak puas hati atas layanan yang diterimanya di tempat kerja, dan menanggung tekanan perasaan yang berat.

Dia mendakwa dijadikan mangsa dan dituduh bersikap rasis.

Jika anda berasa tertekan atau murung dan terfikir untuk membunuh diri - atau tahu sesiapa yang begitu - anda boleh menghubungi Befrienders untuk mendapatkan bantuan dengan mengikuti arahan pada laman sesawang mereka.

Kementerian Kesihatan Malaysia dan Mercy Malaysia juga menyediakan talian telefon untuk memberikan sokongan psikologi untuk pekerja barisan hadapan serta orang lain yang terjejas emosi akibat Covid-19.

Ia boleh didapatkan dengan menghubungi 011-63996482, 011-63994236 atau 03-9359935, mulai 8 pagi hingga 5 petang.

[Baca berita asal]