Tiada petunjuk, operasi SAR lelaki lemas di Seremban dihentikan
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat di Taman Happy, Rasah, Rabu lepas dihentikan selepas tidak sebarang petunjuk ditemukan pada hari ketiga pencarian, semalam.
Ketua Zon Seremban Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan Khir Amir Ahmad berkata operasi dihentikan pada pukul 5.00 petang semalam.
“Tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana individu mengenai kehilangan mangsa selain hasil pencarian selepas tiga hari operasi tidak menemukan sebarang petunjuk mangsa hilang,” katanya kepada Bernama di Seremban hari ini.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim berkata jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sega Hilir, Rantau di sini kekal 86 orang melibatkan 19 keluarga setakat pukul 9.00 pagi ini.
Beliau berkata kesemua mangsa dari Kampung Sega Hilir, Kampung Kuala Sawah dan Kampung Pasir masih tidak dibenarkan pulang berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
“Bagaimanapun, keadaan adalah terkawal dan air di kebanyakan kediaman mangsa telah surut. Kebenaran untuk kesemua mangsa pulang ke kediaman hanya dapat diputuskan petang ini,” katanya.
Dalam kejadian banjir pada hari Rabu lepas, 15 kawasan di Daerah Seremban, Rembau serta Port Dickson terjejas susulan hujan lebat.
- Bernama

