Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
S'gor peruntuk RM400 juta laksana program tangani Covid-19

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini dimaklumkan sebanyak RM400 juta diperuntukkan kerajaan negeri untuk melaksanakan pelbagai program bagi menangani penularan pandemik COVID-19 termasuk membantu petugas barisan hadapan.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata sebagai langkah awal, sebanyak RM1.6 juta dibelanjakan untuk melakukan ujian saringan komuniti di zon merah dan RM1.36 juta pula bagi melaksanakan ujian saringan bersasar termasuk terhadap rakyat Selangor yang pulang dari Sabah.

“Ujian saringan bersasar ini akan diteruskan sehingga ke tahun depan. Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM690,000 untuk menyediakan kit pembasmi COVID-19 kepada 854 taska berdaftar di negeri ini.

“Selain itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM5.8 juta untuk menyumbang pelitup muka secara percuma kepada semua pelajar sekolah di Selangor, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, pusat khidmat masyarakat dan semua penjawat awam negeri bagi mencegah penularan wabak di premis kerajaan,” katanya pada sidang DUN di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Daroyah Alwi (Bersatu-Sementa) mengenai jumlah peruntukan disediakan kerajaan negeri untuk membendung pandemik COVID-19 dan inisiatif tambahan bagi menghadapi penularan wabak berkenaan.

Pada masa sama kata Dr Siti Mariah, kerajaan negeri turut merancang pelbagai inisiatif baharu berdasarkan situasi semasa pandemik berkenaan antaranya memperluaskan program ujian saringan yang menyasarkan golongan berisiko selain menambah baik penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di peringkat komuniti.

Bagi membantu petugas barisan hadapan pula katanya, kerajaan negeri menyediakan inisiatif tambahan iaitu mewujudkan taska sementara bagi menjaga anak-anak golongan tersebut.

Bagi mana-mana lokasi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), beliau berkata kerajaan negeri juga diberi tanggungjawab untuk menyumbang bekalan makanan kepada pihak yang dikuarantin termasuk petugas barisan hadapan di lokasi berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS