Pemimpin Umno setuju mereka yang jadi beban undur diri
Beberapa orang pemimpin Umno hari ini berpendapat, mana-mana pemimpin yang merasakan diri mereka menjadi beban kepada parti memang wajar meletakkan jawatan.
Beberapa orang pemimpin Umno hari ini berpendapat, mana-mana pemimpin yang merasakan diri mereka menjadi beban kepada parti memang wajar meletakkan jawatan.
Menurut mereka kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi dan prinsip itu perlu dipegang oleh ahli-ahli Umno di semua peringkat.
Para pemimpin Umno juga berharap kesediaan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk berundur jika menjadi beban kepada parti perlu diteladani oleh semua ahli Umno termasuk pemimpin utama parti.
Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Amil Salleh berkata, kesediaan Naib-Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin meletakkan jawatan jika kehadirannya menjadi beban kepada parti hendaklah dicontohi oleh semua pemimpin parti tersebut.
" Prinsip tersebut hendaklah dipakai oleh semua pemimpin dan bukannya kepada pemimpin tertentu sahaja.
"Jangan pula pemimpin besar atau mereka yang dekat dengan Perdana Menteri mengabaikan prinsip itu,"ujarnya bagi mengulas kesdiaan menantu Presiden Umno itu meletakkan jawatan jika beliau dianggap sebagai beban kepada Umno.
Khairy menyatakan kesediaan untuk berundur pada Ahad lalu ketika merasmikan mesyuarat Pemuda Umno bahagian Cheras di ibu negara, Sabtu lalu
"Yang paling penting ialah pemimpin besar menunjukkan teladan terlebih dahulu sebelum diikuti oleh pemimpin peringkat bahagian dan cawangan," katanya.
Amil juga menegaskan, tindakan Khairy menangis pada perasmian mesyuarat pergerakan Pemuda berkenaan kerana dituduh dengan pelbagai tohmahan sejak kebelakangan ini sebagai perkara biasa.
"Orang politik menangis sudah menjadi perkara biasa dan Khairy tidak tercuali. Saya percaya ia bukan taktik untuk menarik simpati," tambahnya.
Amil bagaimanapun mengakui Khairy telah berjaya meletakkan Pemuda Umno menjadi suara peringkat akar umbi yang berkesan.
"Kehadiran Khairy dan Pemuda Umno dalam msayarakat memang dirasai kebelakangan ini. Keadaan ini tidak pernah berlaku sebelum ini,"katanya.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah Datuk Hassan Malek pula berkata, pemimpin yang bertanggungjawab perlu berundur apabila tiba waktunya.
" Mereka perlu memikirkan kehendak ahli dan parti melebihi kepentingan peribadi. Mereka perlu berundur apabila tiba waktunya sama ada atas kesedaran diri sendiri, atau atas kehendak ahli-ahli Umno sendiri," katanya.
Beliau juga menekan, seseorang pemimpin perlu tahan dikritik kerana ia akan menjadikan mereka lebih memahami kehendak rakyat dan parti.
Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang, Datuk Mat Isa Ismail pula berkata, prinsip yang dipegang oleh Khairy itu perlu digunapakai oleh semua peringkat pemimpin, bukannya kepada golongan pemuda sahaja.
Katanya, jika parti sudah tidak mahukan mereka, maka eloklah berundur untuk memberi peluang kepada orang lain menjadi pemimpin.

