Pihak cuba sekat urus niaga dana PetroSaudi berunding cari penyelesaian
Pihak-pihak yang terlibat dalam permohonan kerajaan untuk menyekat sebarang urus niaga berhubung wang berjumlah US$340,258,246.87 milik PetroSaudi International Ltd (PSI) dan subsidiarinya PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Limited (PSOS-VZ), kini dalam proses rundingan untuk penyelesaian.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyudin Mohmad Som ketika dihubungi hari ini.
Mahyudin berkata peguam yang mewakili PSOS-VZ selaku responden ketiga dalam kes itu, telah menulis surat kepada mahkamah untuk memohon penangguhan berikutan situasi pandemik Covid-19 serta pihak-pihak yang terlibat memerlukan lebih masa untuk rundingan berkenaan.
Beliau berkata pihak terbabit juga telah memberi jaminan bahawa perintah larangan sementara oleh mahkamah terhadap pemindahan dana ke entiti lain sehingga kes utama selesai, akan dipatuhi.
"Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan penangguhan itu dan pihak-pihak telah mengesahkan bahawa perintah sementara untuk menyekat pergerakan dana masih terikat dan efektif.
"Memandangkan pihak-pihak berkenaan memerlukan lebih masa untuk berunding dan pengesahan mereka mengenai perkembangan perintah sementara dan secara kebetulan pula dengan lanjutan PKPB, permohonan penangguhan pendengaran dibenarkan," katanya.
Mahyudin menambah, mahkamah telah menetapkan 14 Dis untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh baharu pendengaran. Permohonan kerajaan itu sepatutnya didengar hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Pada 16 Julai lepas, Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan kerajaan untuk mendapatkan satu perintah sementara bagi menghalang PSI, pengarahnya Tarek Obaid dan anak syarikat itu PSOS-VZ daripada mengalih wang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di United Kingdom (UK) kepada entiti lain.
Perintah sementara itu adalah bagi mengekalkan status quo pihak-pihak yang terlibat sehingga pelupusan permohonan kerajaan bagi mendapatkan perintah sekatan ke atas sebarang urus niaga membabitkan wang milik PSI dan PSOS-VZ yang kini disimpan dalam akaun eskrow dipegang oleh Clyde & Co Co LLP di UK.
Selain wang berjumlah US$340,258,246.87, kerajaan dalam permohonannya turut memohon wang yang tidak dinyatakan jumlahnya yang disimpan dalam akaun bank perantara atas nama Temple Fiduciary Services Limited di Barclays Bank, UK.
Permohonan itu, yang difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA), menamakan Tarek, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co serta Temple Fiduciary sebagai responden pertama hingga kelima.
Pada 19 Ogos, Hakim Mohd Nazlan membenarkan PSOS-VZ mengeluarkan US$1.357 juta daripada US$340,258,246.87 itu selepas membenarkan permohonan syarikat untuk meminda perintah interim yang melarangnya memindahkan wang terbabit ke entiti lain.
PSOS-VZ memohon untuk meminda terma perintah interim tersebut agar sebahagian daripada wang dilepaskan bagi pembayaran perbelanjaan perniagaan dan kos guaman.
Sejumlah US$1.357 juta itu akan dibayar kepada firma guaman Kerman & Co yang berpangkalan di UK selepas selesai kes timbang tara melibatkan syarikat itu.
- Bernama

