PM nafi anaknya bolot projek kerajaan
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini bercakap secara terbuka bagi menjawab segala prasangka dan tuduhan yang ditujukan terhadapnya terutama berhubung keluarganya dan gaya kepimpinannya selaku Perdana Menteri.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini bercakap secara terbuka bagi menjawab segala prasangka dan tuduhan yang ditujukan terhadapnya terutama berhubung keluarganya dan gaya kepimpinannya selaku Perdana Menteri.
Dalam wawancara khas selama 40 minit yang disiarkan melalui TV3, Abdullah mempertahankan anaknya Kamaluddin Abdullah yang didakwa membolot projek-projek kerajaan dan menantunya, Khairy Jamaluddin yang dituduh menguasai pentadbirannya.
Mengenai Kamaluddin, Abdullah berkata perniagaan anaknya itu beroperasi di luar negara dan tidak pernah terlibat dalam syarikat tempatan ataupun konsesi yang ditawarkan kerajaan.
"Tidak pernah minta pertolongan daripada kerajaan, tidak pernah terlibat dalam apa-apa yang perlu 'bail-out' (diselamatkan), tak ada apa-apa," katanya ketika diwawancara oleh Pengerusi Bernama Datuk Mohd Annuar Zaini dalam program "Bersemuka Bersama Perdana Menteri" yang disiarkan melalui TV3 malam tadi.
Menjawab dakwaan projek monorel di Pulau Pinang sudah diperuntukkan kepada Kamaluddin, Perdana Menteri berkata: "Apa cakap macam tu... siapa cakap? Saya nak cakap pada awak (Datuk) Annuar, susah nak jadi orang baik ni, tahu tak."
Mengenai Khairy pula, beliau berkata: "Orang kata saya semua buat keputusan pasal Khairy. Mana ada Khairy? Takkanlah sampai berapa tahun menderita dalam politik, punya susah nak jadi Perdana Menteri, lepas itu nak serah kuasa kat dia. Mana boleh?" kata Abdullah.
Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri berkata beliau sebenarnya tidak gemar untuk membincangkan soal keluarganya sekalipun mereka juga turut menjadi mangsa kepada tuduhan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu.
"Saya tahu anak-anak saya tak terlibat dalam perkara-perkara yang mungkin jadi tuduhan daripada orang-orang tertentu. Sekarang saudara (Annuar) dah tanya saya, saya kena jawablah," katanya.
Menyentuh cara kepimpinannya yang didakwa sebagai lembab, Abdullah menjelaskan, setiap keputusan yang beliau ambil, walaupun mengambil masa, adalah dibuat secara berhati-hati dengan mengutamakan kebenaran dan keadilan, untuk semua rakyat tanpa mengira kaum.
"Ada masa kita perlu berhati-hati. Satu perkara yang saya tahu sejak saya jadi Perdana Menteri, apa yang saya buat buruk baiknya banyak orang yang akan terima kesannya.
Cara kepimpinan
"Kalau buruk, buruk padahnya, kalau kesan baik alhamdulillah, tapi yang saya bimbang kalau jadi salah, jadi tak elok, ramai yang akan menderita, ramai yang akan sengsara, ini yang saya takut,"
"Tunggulah kejap... Saya ni orang kata kalau masuk main bola tak sampai 10 minit dah orang hukum saya... macam mana ni? Tunggulah kita nak panas, nak pick-up tempo, kita nak bergerak apa semua," katanya.
Abdullah berkata walaupun caranya itu berbeza dengan kepimpinan Dr Mahathir, beliau tidak pernah lari daripada matlamat sebenar iaitu mencapai Wawasan 2020 yang pasti akan dipenuhi dengan caranya tersendiri setelah mengambil kira keadaan semasa.
Beliau juga berpegang kepada prinsip tersendiri iaitu mahu dirinya dihormati berbanding dengan falsafah saintis politik terkenal Nicolo Machiavelli yang berpegang kepada pendekatan pemimpin ditakuti.
Kata Abdullah beliau mahu memimpin negara ini sepertimana perkahwinan beliau dengan Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood yang dipenuhi dengan kasih sayang dan keikhlasan serta adil.
"Ini amanah saya dan saya akan pegang," katanya.
Mengenai tindakannya berdiam diri dalam isu kritikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Abdullah berkata beliau tidak mahu menjadikan media sebagai gelanggang untuk bertengkar dengan bekas Perdana Menteri itu.
Tambahan pula, kata beliau, soalan dan isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir adalah dituju kepada kerajaan, dan sewajarnya dijawab oleh menteri yang berkenaan yang lebih tahu mengenai bidang masing-masing.
"Dan memang Jemaah Menteri lebih suka kalau saya tak bercakap. Dan banyak orang menganggap bahawa saya tak bercakap itu adalah baik. Banyak orang kata pada saya, toksahlah Pak Lah you cakap, jadi kelam-kabut. Toksah. Biarlah menteri-menteri jawab sudah cukup," katanya.
Perdana Menteri yang juga ditanya mengenai gaya kepimpinannya yang dikatakan terlalu "lembut dan lembab", menegaskan bukan stail beliau untuk bertindak secara "gung ho" atau menunjuk-nunjuk.
Berdiam diri
Mengenai tindakannya berdiam diri dari menjawab kritikan-kritikan Dr. Mahathir pula, Abdullah berkata beliau mendiamkan diri bagi mengelakkan perselisihan dengan bekas perdana menteri itu.
Beliau berkata adalah lebih baik isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir dijawab menteri yang berkaitan memandangkan mereka lebih arif dalam bidang masing-masing.
"Saya memilih untuk berdiam diri kerana saya tidak mahu bertengkar dengan Tun dalam surat khabar. Tun sendiri pernah kata dalam satu kenyataan yang dia buat, dia rasa kecil hati kerana maklumat yang dikehendaki tak dapat. Dia mengharapkan dapat diberi maklumat. Kalau PM sendiri tak bercakap berilah menteri bercakap," katanya.
Perdana Menteri berkata memandangkan isu yang dibangkitkan Dr Mahathir adalah berkaitan kerajaan maka wajar menteri berkaitan menjawab segala persoalan yang dikemukakan.
"Rakyat yang ingin tahu apa yang sedang berlaku. Itu yang dijalankan dan memang jemaah menteri lebih suka kalau saya tak bercakap," katanya.
Abdullah berkata ramai yang menyokong tindakan beliau berdiam diri bagi mengelak timbul keadaan kelam-kabut sehingga mengeruhkan hubungan antara beliau dan Dr Mahathir.
"Banyak orang menganggap bahawa saya tidak bercakap itu adalah baik. Banyak orang kata pada saya, Tak payahlah Pak Lah cakap, jadi kelam-kabut. Toksah. Biarlah menteri-menteri jawab sudah cukup," katanya.

