Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan sedia runding luar mahkamah isu KVDT2
Diterbitkan:  Nov 11, 2020 11:04 AM
Dikemaskini: 4:04 AM

Jemaah menteri bersetuju berunding di luar mahkamah dengan pihak syarikat yang membangunkan projek Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2).

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan dalam Dewan Rakyat hari ini.

“Dalam hal ini, suka saya maklumkan dengan tegasnya dalam mana-mana kes sivil kerajaan sedia runding apa-apa penyelesaian di luar mahkamah.

“Jumaat lepas jemaah menteri bersetuju agar pihak syarikat berunding dengan kementerian pengangkutan,” katanya.

Terdahulu, bekas menteri pengangkutan, Anthony Loke bertanya adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) terbuka untuk membuat rundingan kembali bersama syarikat usaha sama KVDT 2, Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd (DM-LTAT) sejurus dapat menyelesaikan masalah itu di luar mahkamah.

Sementara itu, Takiyuddin turut berkata, kerajaan kini berdepan tiga tuntutan sivil yang difailkan oleh syarikat tersebut termasuk dakwaan melanggar kontrak.

Pada 7 Sept lalu, DM LTAT menfailkan saman terhadap kerajaan dan Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong, antara lain memohon bagi mendapatkan deklarasi bahawa terdapat kontrak yang sah dan mengikat antara syarikat itu dengan kerajaan, menerusi satu surat penerimaan bertarikh 19 Ogos 2019.

Pada 28 Ogos Wee berkata kementeriannya akan membuka semula tender bagi projek KVDT 2 selepas mengambil kira keputusan kajian menyeluruh dan siasatan yang mendapati kos projek yang dimaksudkan di bawah DM LTAT terlalu mahal semasa di bawah pentadbiran PH.

Lihat Komen
ADS