822 kes baru, 2 kematian, 86 di ICU
Jumlah kes positif harian Covid-19 di Malaysia terus berada pada tiga digit, iaitu pada 822 kes berbanding 869 dan 972 kes yang dicatakan semalam dan Isnin lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 42,872 kes dengan kes aktif sebanyak 11,497.
Dia berkata daripada kes baru itu, Sabah kekal merekodkan jumlah kes tertinggi dengan sebanyak 258 kes.
“Sabah mencatatkan sebanyak 258 kes atau 31.5 peratus daripada keseluruhan kes positif pada hari ini.
“Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 202 kes atau 24.6 peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya.
Jumlah kes baru mengikut negeri adalah seperti berikut: Sabah (258 kes), Negeri Sembilan (225), Selangor (176), Labuan (46) Pulau Pinang (26), Kuala Lumpur (17), Kedah (17), Sarawak (14), Perak (14), Johor (10), Melaka (6), Putrajaya (3), Perlis (2) dan Kelantan (1).
Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat tiga kluster baru dikenal pasti pada hari ini. Semua kluster itu dikesan di Sabah dan dinamakan Karamunting, Haven dan Saga.
Sementara itu, daripada keseluruhan 822 kes baru terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. Negara berkenaan adalah India (1 kes), Kanada (1 kes), Indonesia (1 kes), Emiriah Arab Bersatu (1 kes), Afghanistan (1 kes), Rusia (1 kes) dan Arab Saudi (1 kes).
Dr Noor Hisham berkata terdapat sebanyak 769 kes pulih Covid-19 dan dengan perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 31,073 atau 72.5 peratus.
“Sehingga kini, terdapat 86 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 30 kes memerlukan bantuan pernafasan.
"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19," katanya sambil menambah semua mangsa adalah dari Sabah.
Kedua-dua mangsa adalah bukan warga negara yang membabitkan dua perempuan yang masing-masing berusia 22 tahun dan 67 tahun.
Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 302 kes atau 0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.


