Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Selangor kecewa IWK tak maklumkan pencemaran lebih awal
Diterbitkan:  Nov 11, 2020 8:58 PM
Dikemaskini: 12:58 PM

Exco Selangor, Hee Loy Sian, kecewa apabila Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) gagal memaklumkan kepada kerajaan negeri mengenai tindakan sebuah premis di Taman Velox di Rawang disyaki membuang sisa kimia secara haram melalui tandas sejak seminggu lalu.

Kejadian itu sekali lagi menyebabkan gangguan bekalan air membabitkan lebih satu juta akaun di Lembah Klang.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam hari ini, Hee meluahkan berkata tindakan sewajarnya dapat diambil sekiranya kerajaan negeri segera diberitahu akan hal itu.

Katanya, IWK telah mengesyaki pengendali premis membuang sisa berjadual yang menyebabkan loji IWK menerima bahan kemerah-merahan sehingga memaksa mereka menghentikan operasinya pada 4 Nov.

Jelasnya IWK juga hanya memberitahu perkara itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan bukannya kerajaan negeri.

Kejadian itu kemudian menyebabkan pencemaran di Sungai Selangor dan mengakibatkan penutupan empat loji rawatan air di Kuala Selangor semalam.

“IWK juga membuat laporan polis mengenai masalah itu sementara Span memutuskan untuk membuang sisa berkenaan secara manual ke lokasi lain menggunakan lori dan menutup kilang.

"Luas (Lembaga Urus Air Selangor) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tidak diberitahu mengenai hal ini dan jika kami tahu, kami mungkin akan mengambil tindakan sewajarnya lebih cepat," kata Hee seperti dipetik Bernama.

Hee menjelaskan bahawa insiden itu adalah yang keempat oleh IWK tahun ini dan syarikat itu seharusnya lebih bertanggungjawab dalam menguruskan loji rawatan kumbahan mereka.

"Ini adalah kali keempat ia terjadi... dua kali di Bukit Mahkota, Semenyih, sekali di Batang Kali, Hulu Selangor, dan sekarang di Rawang," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan akan membawa siapa saja yang terlibat dalam pencemaran air di negeri ini ke muka pengadilan sesuai dengan Enakmen Luas 1999.

Semalam, Air Selangor mengumumkan bahawa operasi di loji rawatan air Fasa 1, 2 dan 3 Rantau Panjang dan Sungai Selangor terpaksa ditangguhkan kerana pencemaran sumber air mentah.

Gangguan itu telah menjejaskan 1,139,008 premis di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dr Zaini Ujang, dilaporkan berkata bahan pencemar air itu dipercayai berasal dari kawasan industri kecil dan sederhana di Taman Velox, Rawang.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS