Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad belum membuat keputusan sama ada akan menyokong atau tidak Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini.

Katanya, dia berharap cadangannya diambil kira oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya reserve  diri saya dan parti saya untuk sokong atau tidak Belanjawan 2021 kerajaan PN ini.

“Saya harap cadangan bernas ini diberi tempat dalam Belanjawan kali ini,” katanya.

Mahathir (Pejuang - Langkawi) berkata demikian dalam sesi perbahasannya bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 dalam Dewan Rakyat hari ini.

Pejuang masih belum dapat didaftarkan dan mempunyai tiga lagi anggota parlimen iaitu Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), dan Shahruddin Salleh (Sri Gading) - mereka kini duduk di blok bebas selepas meninggalkan Bersatu.

“Kita semua ingin luluskan bajet. Jika ia tidak lulus, pada lazimnya perdana menteri perlu letak jawatan.

"Akan jadi pula satu krisis politik. Kerajaan pintu belakang ini akan diganti dengan kerajaan tebuk atap, yang juga tidak stabil,” katanya.

Dalam perbahasannya, antara lain, Mahathir menyebut bahawa tidak seperti belanjawan sebelum ini, tidak ada cukai baru yang diperkenalkan untuk membiayai Belanjawan 2021.

Bekas perdana menteri itu sebelum ini berkata, bahwa dia hanya akan menyokong "belanjawan realistik".

Sambil membidas beberapa projek untuk pembangunan pejabat beberapa kementerian dalam Belanjawan 2021, katanya, peruntukan itu perlu ditangguhkan dahulu dan mengutamakan kepada perbelanjaan berkaitan Covid-19.

"Peruntukan pembangunan pelbagai kementerian dicatatkan meningkat 520 peratus, ini termasuk pembangunan pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) RM160 juta dan bangunan pejabatnya di seberang laut bernilai RM64.4 juta, RM231 juta pula bagi pembangunan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

"Bagi peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dinaikkan dari RM7.9 bilion pada 2020 kepada RM11.7 bilion (2021).

"Apa perlu RM1bilion daripada RM100 bilion untuk projek khas. Apa perlu RM125 juta bagi menaik taraf Kompleks Angkasapuri. Kita perlu tangguhkan projek ini," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mahathir juga mencadangkan agar saiz kabinet dikurangkan kerana jumlahnya terlalu besar sedangkan ada rakyat yang tidak dapat bekerja akibat Covid-19.

Katanya, gaji menteri juga perlu dikurangkan sekurang-kurangnya 10 peratus bagi membantu kerajaan menangani Covid-19.

“Saya akui kita telah tangani serangan Covid-19 dengan baik. Tahniah diucapkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, saya tidak fikir beliau takut mati.

"Tetapi, ada negara yang lebih berjaya daripada kita, ada teknologi baru yang telah diperkenal, kita perlu belajar daripada mereka yang berjaya,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut mencadangkan supaya ujian Covid-19 diadakan lebih kerap bagi membolehkan pengasingan dilakukan terhadap mereka yang dijangkiti sahaja.

“Apabila orang yang sihat dikenakan kuarantin termasuk semasa lockdown, daya keluar, produktivitinya tidak dapat menyumbang kepada ekonomi. Ekonomi negara akan merosot.

"Sesungguhnya lebih ramai orang yang sihat dikuarantin daripada mereka yang sudah dijangkiti,” katanya.