Jumlah kes positif harian Covid-19 di Malaysia terus berada pada tiga digit, iaitu pada 919 kes berbanding 822 dan 869 kes yang dicatakan semalam dan Selasa lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 43,791 dengan kes aktif sebanyak 11,419.

Dia berkata daripada kes baru itu, Sabah kekal merekodkan jumlah kes tertinggi dengan sebanyak 318 kes berbanding 258 kes, semalam.

“Kes-kes di Sabah kini stabil berbanding minggu lepas, keadaan telah terkawal.

“Sabah mencatatkan sebanyak 318 kes atau 34.7 peratus daripada keseluruhan kes positif pada hari ini.

“Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 224 kes atau 24.4 peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya.

Jumlah kes baru mengikut negeri adalah seperti berikut: Sabah (318 kes), Negeri Sembilan (240), Selangor (174), Pulau Pinang (63), Kuala Lumpur (47), Labuan (35), Perak (9), Sarawak (8), Johor (8), Melaka (8), Kedaha (3), Kelantan (2), dan Putrajaya (1).

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat satu kluster baru dikenal pasti pada hari ini yang dikenali sebagai kluster Teluk di Sabah.

"Tiga kluster diisytihar tamat - kluster Pulau, kluster Bah Rose dan kluster Bah Ketil," katanya sambil menambah kluster berkenaan adalah di Sabah, Kedah dan Pulau Pinang.

Sementara itu, daripada keseluruhan 919 kes baru terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. Negara berkenaan adalah Indonesia (1 kes), Aran Saudi (1 kes) dan Nigeria (1 kes).

Dr Noor Hisham berkata terdapat sebanyak 996 kes pulih Covid-19 dan dengan perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 32,069 atau 73.2 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 92 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 35 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19," katanya sambil menambah adalah dari Sabah.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 303 kes atau 0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.