Seekor tapir jantan dianggarkan berusia 25 hingga 35 tahun dan anggaran berat 150 kilogram ditemui mati akibat dilanggar kenderaan di Kampung Sri 10, Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan malam tadi.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira jam 10 malam dan kehadiran anggota Perhilitan ke lokasi mendapati tapir tersebut sudah mati.

"Anggota Perhilitan Kelantan yang melakukan rondaan ke tempat kejadian dan mendapati tapir jantan tersebut telah mati. Pihak jabatan menguruskan tapir dianggar seberat 150 kilogram itu untuk proses pelupusan.

"Keadaan jalan tempat kejadian adalah lurus menuruni bukit dan tiada lampu jalan, keadaannya sangat gelap," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Sebagai rekod, tapir merupakan antara hidupan liar yang semakin terancam populasinya di negara ini.

Populasi tapir dilaporkan kritikal pada masa ini kerana kadar pembiakan haiwan itu yang perlahan dengan seekor tapir betina biasanya mengambil masa lebih setahun (13 bulan) untuk melahirkan seekor anak dan mengambil kira tempoh mengasuh anak selama dua tahun, maka dianggarkan anak tapir yang seterusnya hanya boleh dilahirkan selepas tiga tahun enam bulan.

Ady Eemanty Haniff berkata, sebahagian besar hutan simpan yang sudah dan dalam proses ditukar kepada ladang hutan menyebabkan hidupan liar akan luaskan kawasan rayau bagi mencari makanan, pasangan atau perkumpulan mereka.

Jelasnya, Jabatan Perhilitan melaksanakan pemantauan dan rondaan malam secara berkala dari semasa ke semasa bagi mengelakkan dari hidupan liar keluar ke jalan

"Selain itu, perangkap tapir akan di pindahkan ke sekitar kawasan ini. Satu program inventori akan di laksanakan bagi semua kawasan hutan yang terpulau atau tersepit.

"Kawasan hutan-hutan tersepit ini menjadi habitat hidupan liar yakni sebagai rumah di waktu siang dan hidupan liar mula keluar dari kawasan ini di waktu malam untuk mencari makanan di kawasan sekitar.

"Perkara ini amat membimbangkan jabatan kerana kekurangan habitat yang sesuai bagi hidupan liar," katanya.

Tambahnya, Perhilitan melihat kawasan-kawasan laluan jalan yang terlalu gelap jika dapat di pasang lampu-lampu jalan sama ada dengan bekalan elektrik secara terus atau menggunakan solar dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan yang melibatkan hidupan liar.

"Pihak Jabatan juga ingin menasihatkan pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati di jalan raya terutama pada waktu malam," katanya.