Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Teresa Kok: Zuraida tak layak jadi menteri kerana galakkan langgar undang-undang
Diterbitkan:  Nov 16, 2020 4:38 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menyifatkan Zuraida Kamaruddin tidak sesuai menerajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana menggalakkan pelanggaran undang-undang di Kuala Lumpur dengan menjadikan wilayah berkenaan sebagai 'bebas berniaga'.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kok menyatakan rasa terkejutnya kerana Zuraida menyifatkan kritikannya terhadap dasar itu sebagai tidak peka terhadap peniaga kecil.

"Saya rasa hairan atas kritikan yang dilemparkan oleh Zuraida terhadap saya kerana saya menyoal pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa yang berkata DBKL membenarkan warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan kecil di mana-mana tempat yang sesuai di sekitar bandaraya mulai 15 November 2020.

"Kenyataan Zuraida ini menunjukkan beliau sebagai menteri yang menjaga kerajaan tempatan memang tidak sedar tentang masalah penjaja tanpa lesen yang melanggari undang-undang yang berlaku di banyak tempat di Kuala Lumpur," kata Kok.

Tambah pemimpin DAP itu, Zuraida dan Annuar seharusnya membantu golongan peniaga kecil tanpa lesen dengan mewujudkan lebih pusat penjaja ataupun pasar pagi atau pasar malam di tempat yang sesuai.

"Ini adalah kerana 'wilayah bebas berniaga' bukan sahaja akan mewujudkan masalah trafik, tetapi ia juga akan mewujudkan pergaduhan di antara penduduk dan penjaja berkenaan, dan akan menjadikan bandaraya Kuala Lumpur kucar-kacir," katanya.

Kok menegaskan bahawa dia prihatin terhadap nasib peniaga kecil dan masalah pengangguran di kalangan warganegara.

Semalam, Zuraida mengatakan dia terkejut apabila Kok, dalam perbahasan di Dewan Rakyat telah menentang dasar berkenaan yang bertujuan untuk membantu peniaga kecil menjalankan aktiviti ekonomi pada ketika mereka menghadapi cabaran dalam menjana pendapatan kerana sekatan yang dikenakan untuk memerangi pandemik Covid-19.

"Saya terkejut kerana Kok telah membangkitkan di Dewan Rakyat bantahan sia-sia dan tidak sopan terhadap tindakan untuk membantu pengguna kecil ini.

"Sangat mengecewakan mendengar dia menyindir bahawa akibat dari cadangan zon bebas, gerai penjaja dapat didirikan di sepanjang Jalan Parlimen.

"Kehidupan peniaga kecil kami bukanlah perkara yang menggelikan hati," kata Zuraida.

Di bawah dasar "bebas berniaga", mana-mana peniaga kecil boleh mendirikan gerai di Kuala Lumpur asalkan dianggap sesuai oleh pihak berkuasa.

Mereka hanya perlu memohon kebenaran berniaga sementara selama enam bulan.

Kok mendesak Zuraida dan Annuar untuk memperhatikan apa yang dikemukakan oleh anggota parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang mendakwa bahawa ahli politik dan NGO tertentu berusaha mendapatkan keuntungan dari kawasan bebas berniaga.

"Saya menyeru Zuraida dan Annuar membuat kenyataan dan menjalankan tugas mereka sebagai menteri secara professional dan mengikut peraturan dan undang-undang.

"Selain itu, mereka sepatutnya mengadakan rundingan dan bekerjasama dengan wakil rakyat khususnya di bandaraya Kuala Lumpur untuk mencari jalan membantu golongan B40, dan bukan memutar-pelitkan kenyataan bernas yang dikeluarkan oleh wakil rakyat seperti saya," katanya.

Lihat Komen
ADS